Lizam Ridzuan


KOMPAK, selesa dan fleksibel elemen utama Volkswagen Golf yang menawarkan hatchback ikonik sejak dilancarkan pada 1974 sebagai kenderaan keluarga di Jerman.

Kemudian varian Golf GTI diperkenalkan setahun selepas itu dan menawarkan lebih prestasi dan kepuasan pemanduan menakjubkan.

Selepas 45 tahun, ia masih mengekalkan DNA sama namun ditambah baik kemasan serta talaan. Vroom Metro Ahad sempat menguji ‘hot hatch’ Golf GTI daripada generasi ke 7.5 (Mk 7.5) itu baru-baru ini.

Model terbaharu itu menjengah pasaran tempatan pada 2018 melalui Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sebagai syarikat pengedar utama jenama Volkswagen di negara ini.

Jika dilihat pada reka bentuk, antara pembaharuan ketara lampu hadapan dan belakang didatangkan dengan LED penuh serta lampu nyalaan siang (DRL) selain kawalan jarak dan cahaya selekoh dinamik bagi keselamatan tambahan.

Penulis menggemari perumah lampu belakang dengan lampu isyarat elemen ‘matrix’. Ia bukan sahaja bergaya malah mudah dilihat dari jauh.

Pakej GTI merangkumi bampar hadapan, sisi, belakang dan spoiler dengan gril corak honeycomb serta logo GTI bagi membezakan dengan varian-varian Golf yang lain.

Rim aloi 18 inci ‘Milton Keynes’ dengan tayar bersaiz 225/40 adalah padanan bergaya dengan corak lima bilah dan dua tona warna.

Melihat kepada ruangan dalaman Golf GTI, ia tampil ringkas namun sporty terutama tempat duduk dengan kemasan balutan kulit Vienna.

Ia bukan sahaja selesa dan stabil dengan sokongan pada bahagian sisi badan malah elegan dengan jahitan merah.

Kerusi pemandu boleh laras elektrik untuk 12 kedudukan dengan fungsi memori, tuil gear dan roda stereng GTI pelbagai fungsi menyerlahkan lagi gaya sporty dan legasi model ini.

Rekaan papan pemuka tidak terlalu futuristik dengan gaya sederhana kemasan ‘piano black’ dan honeycomb pada konsol tengah namun hadir dengan sistem hiburan serta maklumat skrin sesentuh berwarna bersaiz lapan inci.

Selain menyediakan sambungan Bluetooth dan aplikasi lain seperti ‘Apple CarPlay’ dan ‘Android Auto’ untuk hiburan serta komunikasi sepanjang perjalanan, ia didatangkan dengan paparan kamera undur.

Meskipun tidak banyak lagi penggunaannya, pada bahagian laci hadapan, tersimpan kemas pemain cakera padat (CD) sebagai opsyen kepada radio dan sumber media lain sekiranya tiada capaian talian 4G bagi muzik.

CIRI fleksibel yang praktikal.
CIRI fleksibel yang praktikal.

Paparan Info Aktif TFT berdefinisi tinggi pada kluster instrumen bersaiz 12.3 inci pula disediakan sebagai kemudahan kepada pemandu untuk sistem navigasi, odometer, rpm, jarak dan penggunaan bahan api yang boleh dilaras dengan butang pada roda stereng GTI yang sporty.

Sistem kemasukan tanpa kunci ‘KESSY’ pula tersedia untuk kemudahan tambahan bagi mengunci, menghidup serta mematikan enjin tanpa perlu menggunakan kunci. Ia antara teknologi termaju yang terdapat padanya.

Seiring dengan perkembangan dunia automotif, brek parkir dan fungsi ‘Auto Hold’ pula menggunakan sistem elektronik bagi menggantikan brek tangan.

Pendingin udara dua zon ‘Climatronic’ untuk aliran udara bersih serta secara automatik akan memilih suhu yang sesuai mengikut keperluan berdasarkan keadaan cuaca di luar.

Paling memberikan kelebihan kerusi belakang yang boleh direbah pada nisbah 60:40 bagi memberi lebih ruang muatan daripada 380 liter pada bonet sehingga 1,270 liter. Ia antara ciri praktikal yang digemari penulis.

Namun di sebalik semua kelebihan dan kemudahan ditawarkan, perkara paling mengujakan sudah pasti memandu model Golf GTI ini.

Enjin 2.0 liter TSI petrol pengecas turbo bukan sahaja menawarkan prestasi menakjubkan dengan 230PS kuasa kuda dan 350Nm tork malah hadir dengan teknologi penggunaan bahan api yang efisien.

Ia juga pantas dan responsif pada apa juga kelajuan terutama ketika memintas kenderaan melalui enjin suntikan bahan api terus yang menjana kuasa gas pada ekzos.

Transmisi ‘Direct Shift Gearbox’ (DSG) enam kelajuan memastikan kelancaran tanpa gangguan dengan dua kotak gear menggunakan dua pemacu aci ‘mechatronic’ yang akan menyesuaikan tukaran secara elektronik mengikut keperluan.

Untuk mod manual, penulis boleh menggunakan tuil gear Tiptronic.

Bagi lebih kepuasan, ia menyediakan lima mod pemanduan iaitu ECO, Comfort, Normal, Sport dan Individual yang akan melaras secara elektronik melalui Kawalan Casis Adaptif untuk respon segera pada keadaan permukaan jalan, membrek, serta operasi pecutan dan pengendalian.

Ia juga dilengkapi dengan Golf GTI ‘Performance Monitor’ sebagai ciri prestasi yang terdapat pada model ini yang memaparkan ‘G-meter’, ‘boost pressure’ dan kuasa yang digunakan serta Think Blue Trainer untuk dorongan gaya pemanduan Eco.

RUANG dalaman ringkas dan sporty.
RUANG dalaman ringkas dan sporty.

Secara keseluruhan, Golf GTI menawarkan kenderaan hatchback yang bukan sahaja hadir dengan rekaan menarik malah menawarkan keselesaan juga prestasi yang diberi penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Sesuai buat mereka yang mahukan kenderaan harian bergaya, tidak terlalu besar daripada segi saiz dan boleh dipandu untuk melayan selekoh ke Hulu Yam pada hujung minggu.

Ciri keselamatan terbaik disediakan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS) dengan Bantu Brek (BA) dan Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD), ISOFIX, bantu rehat.

Kunci Perbezaan Elektronik (XDS), Kawalan Tork Drag Enjin (EDTC) dan sistem perlindungan penumpang proaktif.

Untuk pasaran Malaysia, Volkswagen Golf GTI dijual pada harga RM250,320 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan tanpa had perbatuan, tiga tahun penyelenggaraan percuma, lima tahun bantuan jalanan serta 15,000 kilometer (km) servis berjadual.

SPESIFIKASI

VOLKSWAGEN GOLF GTI

ENJIN: 1,984cc petrol empat silinder pengecas turbo suntikan terus TSI

KUASA MAKSIMUM: 230PS pada 4,700 hingga 6,200rpm.

TORK MAKSIMUM: 350Nm pada 1,500 hingga 4,600rpm

TANGKI PENUH: 50 liter

CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS) dengan Bantu Brek (BA) dan Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD) , ISOFIX, bantu rehat, Kunci Perbezaan Elektronik (XDS), Kawalan Tork Drag Enjin (EDTC) dan sistem perlindungan penumpang proaktif.

HARGA: RM250,320 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 4:30 AM
GOLF GTI generasi ke 7.5.  FOTO: Rohanis Shukri
GOLF GTI generasi ke 7.5. FOTO: Rohanis Shukri