GAYA ikonik sepanjang zaman.
GAYA ikonik sepanjang zaman.
Lizam Ridzuan


Pengeluaran model Volkswagen Beetle untuk pasaran global bakal tiba ke penghujungnya pada akhir tahun ini dan tiada pengeluaran baharu lagi selepas itu.

Sebelum ianya berakhir Vroom Harian Metro mengambil peluang untuk memandu uji model varian Beetle Sport bagi menilainya sebelum ia menjadi sebagai kereta ‘rare’ pada masa hadapan.

Model generasi ketiga ini mula memasuki pasaran tempatan sekitar 2011 dengan rekaan serba baharu, namun masih mengekalkan DNA asalnya.

Rekaan luaran Bettle menggabungkan elemen klasik dan moden adalah ciri unik terdapat pada model ini dengan bonet dan garis bumbung yang lebih sporty ditampilkan.

Jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya, Beetle ini menggabungkan rekaan bampar baharu bagi melengkapi keseluruhan gaya kotemporari.

Lampu hadapan Bi-Xenon dengan sistem lampu nyalaan siang (DRL) LED menambahkan elemen moden untuk pencahayaan lebih baik serta mengurangkan keletihan pada mata terutama jika memandu pada malam hari.

Rekaan rim aloi ‘Rotor’ bersaiz 17 inci menyerlahkan kemantapan kenderaan ini dengan padanan casis berkelebaran 1,808 milimeter (mm).

Sememangnya enjin kenderaan ini terletak di bonet dan but untuk ruang simpanan barang berkapasiti 310 liter.

Menjengah ke ruang dalaman, papan pemuka elemen retro antara yang menarik perhatian penulis kerana meskipun ringkas namun ciri dan elemen kedudukan asalnya dikekalkan.

BUT simpanan barang.
BUT simpanan barang.

Elemen terkini juga dilengkapi pada model ini seperti skrin sesentuh bersaiz 6.5 inci berwarna untuk sistem radio dan hiburan dengan ketersambungan penuh melalui aplikasi MirrorLink, Android Auto dan Apple Carplay.

Walaupun hanya dilengkapi dua pintu, namun proses kemasukan penumpang sangat mudah dengan kerusi hadapan yang boleh digerakkan.

Selain selesa dengan bentuk Lumbar untuk bahagian hadapan, rekaan kerusi balutan kulit Vienna memberikan sokongan yang baik kepada keseluruhan penumpang bagi menyerap pelbagai situasi pemanduan.

Untuk kenyamanan sepanjang perjalanan sistem pendingin hawa dua zon Climatronic membolehkan dua suhu berbeza ditetapkan dalam satu masa mengikut kesesuaian individu.

Rekaan roda stereng sporty dengan butang fungsi audio dan cruise, serta menjawab panggilan telefon bagi kemudahan kepada pemandu lebih fokus ketika pemanduan.

Panel meter analog meskipun tidak berciri digital penuh masih jelas dan mudah untuk dilihat dengan paparan kelajuan serta maklumat perjalanan LCD disediakan.

Menyentuh mengenai enjin, Volkswagen Beetle dijana dengan tenaga 1.2 liter TSI menawarkan kuasa kuda 105PS pada 5,000 hingga 5,500rpm dan daya kilas 175Nm pada 1,400 hingga 4,000rpm.

Bukan saja prestasi malah ia memberikan penjimatan bahan api dengan satu isian penuh 55 liter membolehkan ia bergerak sejauh 650 kilometer (km) bergantung corak pemanduan anda.

Walaupun ia dengan elemen gaya hidup namun kepuasan pemanduan dapat dirasakan dengan pengendalian terbaik sama ada di jalan lurus atau melewati selekoh.

Transmisi automatik Direct Shift Gearbox (DSG) tujuh kelajuan menawarkan tukaran gear lancar dengan pilihan mod Sport buat yang mahukan lebih kepuasan ‘memerah’ enjin suntikan terus pengecas turbo ini.

ENJIN 1.2 liter TSI.
ENJIN 1.2 liter TSI.

Beetle juga mempunyai ciri keselamatan terbaik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantu Brek (BA), Beg Udara, Kawalan Anti-Gelinciran (ASR), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Bantu Mula Bukit untuk perjalanan lebih menyakinkan.

Buat mereka yang memandu bersama anak kecil, kenderaan ini juga dilengkapi sistem tempat duduk kerusi bayi ISOFIX yang akan mengunci kerusi bayi dengan lebih kemas.

Secara keseluruhan Volkswagen Beetle Sport ini meneruskan legasinya sebagai kereta gaya hidup dengan rekaan unik dan ikonik.

Ia juga diberi penarafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) dengan purata penggunaan bahan api sekitar 6.7 liter setiap 100km dicatatkan.

Model ini sesuai buat mereka yang inginkan kelainan dan gaya dan dalam masa sama menawarkan kepuasan pemanduan dengan enjin pengecas turbo.

Rekaan luaran unik dan ruang dalaman selesa dengan baris tempat duduk kedua boleh dijatuhkan untuk membawa lebih muatan antara ciri praktikal ditawarkan.

Kerusi penumpang juga boleh memuatkan dua dewasa serta kanak-kanak dengan unjuran kaki dan ruang kepala yang baik.

Sejak diperkenalkan sebagai kereta rakyat di Jerman pada 1938 Beetle sering dikaitkan dengan seni dan gaya hidup dan memilikinya sebagai satu kepuasan kepada penggemar jenama kenderaan ini.

Kini dalam fasa terakhir pengeluarannya, model ini antara yang akan kekal sepanjang zaman dalam industri automotif sebagai kereta ikonik yang sudah pun menyambut ulang tahun ke-80 pada tahun lalu.

Untuk pasaran Malaysia Volkswagen Beetle 1.2TSI dijual pada harga RM152,390 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun waranti pengeluar serta bantuan di jalanan jika berlaku kerosakan dan tiga tahun penyelenggaraan percuma.

Empat warna ditawarkan iaitu Biru Silk, Putih Pure, Oren Habanero dan Merah Tornado diedarkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

TEMPAT duduk selesa.
TEMPAT duduk selesa.

SPESIFIKASI

Volkswagen Beetle 1.2TSI

Enjin: 1,197cc 4 silinder suntikan terus, pengecas turbo.

Kuasa maksimum: 105PS pada 5,000 hingga 5,500rpm

Tork maksimum: 175Nm pada 1,400 hingga 4,000rpm

Kapasiti tangki petrol: 55 liter.

Ciri keselamatan: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantu Brek (BA), beg udara, Kawalan Anti-Gelinciran (ASR), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Bantu Mula Bukit.

Harga: RM152,390 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 6:26 AM