Lizam Ridzuan

SELAKU kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak, Honda HR-V mendapat sambutan sangat menggalakkan sejak diperkenalkan di pasaran tempatan pada 2015.

Ia sudah terjual melebihi 72,300 unit sejak tiga tahun lalu dan pada Januari lalu, ia mencatatkan jualan 3,000 unit dalam tempoh sebulan yang mencapai sasaran awal jualan bagi tiga bulan pertama 2019.

Ini berikutan Honda Malaysia memperkenalkan dua varian terbaharu iaitu HR-V RS serta HR-V Hybrid yang mana Malaysia adalah antara negara bukan Jepun yang menerima model dilengkapi sistem pemanduan Sport Hybrid Pemanduan Dwiklac Pintar (i-DCD) ini.

Bagi menguji serta mendalami kelebihan jentera hibrid pertama dalam segmen SUV kompak di Malaysia, media permotoran tempatan dibawa ke Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini bagi menilai keupayaan sebenar model ini.

HONDA HR-V Hybrid.
HONDA HR-V Hybrid.

Sesi penerangan oleh Ketua Unit Jualan Honda Malaysia, Sunita Prabhakaran serta barisan jurutera projek HR-V dari Jepun diadakan sebelum dan selepas sesi pemanduan bagi memberi gambaran lebih jelas perkembangan model ini.

Aktiviti pertama untuk media ialah ujian keberkesanan sistem keselamatan melalui cabaran ‘slalom’ dan brek yang diadakan di kawasan parkir Stadium Langkawi.

SUNITA (kanan) melepaskan konvoi.
SUNITA (kanan) melepaskan konvoi.

HR-V yang dilengkapi Sistem Brek-Anti Kunci (ABS), Bantu Brek (BA), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) serta Bantu Kestabilan Kenderaan (VSA) berfungsi dengan baik ketika aktiviti dijalankan yang membrek pantas dan stabil pada kelajuan sekitar 50 kilometer sejam (km/j).

Media kemudian menghala ke Tanjong Rhu dari Kuah melalui pelbagai jalan landai serta berbukit dan di situ, keupayaan enjin dijana bateri hibrid berperanan dalam membekalkan tenaga yang efisien.

CABARAN slalom.
CABARAN slalom.

Enjin 1.5L DOHC i-VTEC dengan transmisi tujuh kelajuan dwi-klac yang bersepadu dengan motor serta kuasa daripada enjin dan bantu motor bateri litium berkuasa tinggi seakan-akan tenaga umpama jentera 2.0 liter.

Mod kenderaan elektrik (EV) penuh melalui sistem i-DCD membolehkan aliran tenaga daripada bateri disalurkan ke motor yang menjanjikan perjalanan lebih efisien terutama berkaitan penggunaan bahan api.

Malah untuk pemanduan lebih mengujakan, mod pemanduan Sport boleh dipilih bagi mencapai pengendalian lebih prestasi pada pelbagai kelajuan.

ENJIN 1.5 DOHC i-VTEC.
ENJIN 1.5 DOHC i-VTEC.

Sepanjang mengelilingi pulau itu, kami juga berkesempatan memintas beberapa kenderaan pada laluan dua hala dan dengan tiga penumpang di dalamnya, HR-V Hybrid ini menghamburkan tenaga yang lancar dan pantas dengan kuasa kuda 152PS pada 6,600 rpm serta daya tork 190Nm pada 4,600 rpm (gabungan motor elektrik).

Ketika mendaki bukit, mod EV membantu enjin serta motor membekalkan tenaga yang berterusan terutama ketika memulakan perjalanan dan mengambil-alih tugas bersilih ganti mengikut ketinggian pendakian serta ketika menuruni bukit, sistem brek servo elektrik menjana semula tenaga untuk digunakan pada tempoh seterusnya.

TRANSMISI 7 kelajuan dwiklac unik.
TRANSMISI 7 kelajuan dwiklac unik.

Pada hari kedua pandu uji, wakil media diberi peluang melakukan perbandingan beberapa model daripada jenama lain dalam segmen sama dengan model HR-V itu.

Antara ujian dilakukan ialah meletak beberapa bagasi serta memuatkan sebuah basikal di bonet bagi menilai kelebihan ruang serta ciri fleksibel yang ditawarkan.

Sememangnya ruang belakang HR-V Hybrid berkeluasan 404 liter ketika kerusi tegak dan menjadi 991 liter ketika tempat duduk penumpang direbahkan, memberi kelebihan untuk menyimpan sehingga tiga bagasi besar selain boleh memuatkan sebuah basikal.

CIRI fleksibel.
CIRI fleksibel.

Kerusi belakang juga boleh dinaikkan untuk nisbah 60:40.

Melihat pada rekaan luaran, model hibrid dibezakan dengan RS melalui bampar hadapan serta perumah lampu baru, rim aloi 17 inci dan logo Hybrid pada sisi.

Secara keseluruhan, model HR-V Hybrid ini adalah SUV kompak yang mempunyai keunikan tersendiri terutama pada tuil transmisi ‘shift-by-wire’ yang direka khusus buat model ini.

Paparan meter tiga dimensi (3D) bercahaya yang bergaya memudahkan paparan pelbagai maklumat berkaitan penggunaan tenaga dan bahan api dapat dilihat dengan mudah.

RUANG dalaman selesa.
RUANG dalaman selesa.

Lingkaran hijau dan merah pada meter kelajuan pula kelihatan setiap kali mod pemanduan ditukar untuk sentuhan gaya premium. Sistem bunyi dilengkapi dengan empat pembesar suara dan paparan multimedia bersaiz 6.8 inci dengan fungsi HDMI dan sambungan USB untuk kualiti hiburan sepanjang perjalanan.

Ciri keselamatan terbaik dibekalkan untuk model ini seperti enam beg udara SRS, Sistem Brek-Anti Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantu Kestabilan Kenderaan (VSA), Brek Parkir Elektrik (EPB), Bantu Brek (BA), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Teknologi G-CON.

WAKIL media yang menyertai sesi pandu uji.
WAKIL media yang menyertai sesi pandu uji.

HR-V Hybrid mendapat penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) berdasarkan kemampuannya mencatat penggunaan bahan api sekitar 4.4L setiap 100 kilometer melalui enjin suntikan terus bahan api dan motor elektrik yang dibantu bateri litium-ion hasil teknologi Earth Dream Honda.

Untuk Hybrid, ada tiga pilihan warna dalam pasaran iaitu White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic dan Modern Steel Metallic dijual pada harga RM120,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan tawaran jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. #vroomHM

(Penulis mengikuti sesi pandu uji media ke Pulau Langkawi, baru-baru ini)

HONDA HR-V HYBRID

• ENJIN: 1.5 liter DOHC i-VTEC

• KUASA MAKSIMUM: 152PS pada 6,600 rpm

• TORK MAKSIMUM: 190Nm pada 4,600 rpm

• KAPASITI BAHAN API: 50 liter

• CIRI KESELAMATAN: enam beg udara SRS, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Bantu Kestabilan Kenderaan (VSA), Brek Parkir Elektrik (EPB), Bantu Brek (BA), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Teknologi G-CON.

HARGA: RM120,800 (atas jalan, tanpa insurans)

INFO

• Empat varian HR-V dalam pasaran tempatan ialah E, V, RS dan Hybrid.

• Honda Malaysia juga menawarkan model Jazz dan City dengan Sport Hybrid i-DCD.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 4:30 AM