BAMPAR dan gril versi R.
BAMPAR dan gril versi R.
Lizam Ridzuan

Selepas pelancaran April lalu, Volkswagen Golf R versi tiga pintu menjengah pasaran melalui pengedar utamanya, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

Hanya 10 unit ditawarkan dengan warna Biru Lapiz dilengkapi enjin 2.0TSI pengecas turbo dan kotak gear transmisi tujuh kelajuan DSG menjana kuasa 290PS dan daya kilas 380Nm.

Pacuan semua roda 4Motion dan Kawalan Casis Adaptif memboleh larasan transmisi untuk mod pemanduan eco, comfort, normal, race atau talaan individu dilakukan hanya satu butang.

Pengarah Urusan VPCM Erik Winter, berkata Golf R antara model menjadi idaman sepanjang zaman peminat Volkswagen terutama daripada varian tiga pintu yang lebih sporty.

TAMPIL lebih sporty.
TAMPIL lebih sporty.

“Ia adalah model premium dan ‘rare’ di negara ini dengan ciri dan prestasi sudah terbukti dengan pelbagai rekod di litar perlumbaan berjaya dicatatkan,” katanya ketika pelancaran tempahan model itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara ciri lain ditawarkan kerusi kulit Vienna dengan logo R, rim aloi 19 inci Pretoria, Paparan Maklumat Aktif bersaiz 12.3 inci, ketersambungan aplikasi dengan ‘Discover Pro’ serta Kawalan Pergerakan Isyarat dan roda stereng progresif.

Rekaan luaran dengan lampu hadapan LED penuh serta nyalaan siang (DRL), lampu belakang LED dengan indikasi dinamik juga kawalan Bantu Lampu Dinamik (DLA), bampar hadapan, belakang dan rekaan gril krom versi R menjadikan ia tersendiri.

LAMPU belakang LED.
LAMPU belakang LED.

Elemen keselamatan didatangkan bersama tujuh beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), Kunci Perbezaan Dilanjutkan (XDS), ISOFIX, Sistem Amaran Pemandu (Bantu Rehat) dan Sistem Perlindungan Penumpang Proaktif.

Walaupun berciri sporty, model berkuasa ini didatangkan bersama rekaan dalaman praktikal dengan keluasan but 343 liter dan jika tempat duduk belakang direbahkan mampu menawarkan ruang sehingga 1,233 liter pada nisbah lipatan 60:40.

Untuk pasaran tempatan, model ini dijual RM268,888 (tanpa insurans) dengan lima tahun waranti pengeluar dan tiga tahun penyelenggaraan percuma.

GOLF R varian tiga pintu.
GOLF R varian tiga pintu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 2:54 AM