GOLF R-Line rekaan ikonik.
GOLF R-Line rekaan ikonik.
Lizam Ridzuan

Kompak, gaya dan berprestasi menggambarkan ciri utama jentera ikonik Volkswagen Golf yang mula diperkenalkan ke pasaran global sejak 1974.

Maka tidak hairanlah kompak ini terjual melebihi 34 juta unit di Eropah dan mengekalkan DNA asalnya sehingga ke hari ini terutama dari segi rekaan.

Ketika pada peringkat awal, Golf dibangunkan sebagai kereta untuk kegunaan keluarga di Jerman dengan ruang terhad tetapi fleksibel selain keseronokan memandu kenderaan pada harga mampu milik.

Kini ia sudah merentasi beberapa generasi melalui model terbaharu dilancarkan pertengahan tahun ini dengan varian Golf R-Line.

Vroom Metro Ahad berpeluang menguji model disediakan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sebagai pengedar utama kenderaan Volkswagen di negara ini, bagi menilai kesinambungan diwarisi daripada model terdahulu.

Jika dilihatkan aspek reka bentuk, Golf masih meneruskan ciri asas sama yang dimulakan 44 tahun lalu oleh perekanya, Georgio Giugiaro and Herbert Schaferini.

Gaya yang tidak terlalu menonjol tetapi tidak pula membosankan adalah bahasa rekaan hingga menjadikan Golf terus berada dalam kelas tersendiri.

DILENGKAPI aksesori penggayaan luaran R-Line.
DILENGKAPI aksesori penggayaan luaran R-Line.

Untuk edisi R-Line, ia memiliki sentuhan aksesori penggayaan luaran seperti bampar hadapan dan belakang, spoiler belakang, logo R-Line pada gril hadapan serta rim aloi ‘Singapore’ bersaiz 17 inci.

Warna kuning kunyit (Tumeric) khusus untuk varian ini menyerlahkan lagi identiti berbeza R-Line selain tampak premium.

Generasi Golf ini juga diserlahkan dengan lampu hadapan dan belakang LED penuh dan Lampu Nyalaan Siang (DRL) yang juga berfungsi sebagai lampu isyarat membelok termasuk lampu selekoh, banyak membantu terutama buat pemanduan malam.

KEKAL DNA kini dengan lampu belakang LED.
KEKAL DNA kini dengan lampu belakang LED.

Menjengah ke ruang dalaman, R-Line menerima sentuhan gaya elegan terutama membabitkan sistem hiburan dan ketersambungan untuk hiburan keseluruhan penumpang dengan lapan pembesar suara.

Paparan Info Aktif bersaiz 12.3 inci dan skrin Composition Media bersaiz lapan inci dilengkapi ciri Sambungan Aplikasi (App-Connect) untuk sistem seperti MirrorLink, Android Auto dan Apple Carplay memudahkan pemandu kekal fokus sepanjang pemanduan.

LAMPU nyalaan siang dengan logo R-Line pada gril.
LAMPU nyalaan siang dengan logo R-Line pada gril.

Ciri lain untuk keselesaan ialah sistem pendingin hawa dua-zon Climatronic, kamera undur, sistem kemasukan tanpa kunci (KESSY), brek parkir elektronik serta pilihan empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Individual.

Kerusi balutan kulit premium Vienna dan kemasan Logo R pada bahagian hadapan menyerlahkan identiti varian ini dan selesa dalam pelbagai situasi pemanduan manakala kerusi belakang boleh direbah menjadikan nisbah 60:40 bagi membawa lebih barangan.

CIRI kompak padanan rim 17 inci ‘Singapore’.
CIRI kompak padanan rim 17 inci ‘Singapore’.

Paling utama nadi kepada R-Line di bawah bonet berkuasa 1.4L TSI dengan kotak gear tujuh kelajuan Direct Shift Gear (DSG) menjanjikan kuasa kuda 150PS dan daya kilas mencecah 250Nm pada 1,500 hingga 3,500rpm.

Meskipun hanya berkapsiti 1.4L suntikan terus turbo, keupayaannya setanding enjin berkuasa 2.0L dan responsif pada sebarang kelajuan.

Pilihan mod pemanduan dan fungsi Eco menjadikan Golf R-Line bukan saja berprestasi, malah penggunaan bahan api efisien dengan satu tangki penuh membolehkan jarak pemanduan melebihi 600 kilometer (km) bergantung corak pemanduan.

ENJIN 1.4L TSI .
ENJIN 1.4L TSI .

Semestinya kelajuan dan kawalan stereng pada laluan selekoh menyerlahkan karakter sebenar Golf yang tidak saja stabil, malah elemen keselamatan Kunci Perbezaan Elektronik Termaju (XDS) membuatkan penulis lebih yakin.

Golf R-Line dilengkapi tujuh beg udara, pengendalian membrek yang akan membrek secara automatik sebaik mengesan objek di hadapan pada kelajuan 10 kilometer sejam (km/j), Sistem Brek Automatik Pasca Pelanggaran, Bantu Rehat dan Sistem Perlindungan Penumpang Proaktif.

RUANG dalaman selesa.
RUANG dalaman selesa.

Keseluruhannya, Volkswagen Golf R-Line adalah kenderaan dengan ciri elegan, dinamik dan memiliki gaya sesuai sepanjang zaman untuk yang bujang atau berkeluarga.

Padanan penggayaan luaran ciri prestasi seperti varian tertinggi Golf R sebagai pilihan buat mereka yang mahu mencabar prestasi jentera pada hujung minggu selain tampil eksklusif sepanjang pemanduan harian.

PAPARAN Info Aktif untuk kemudahan pemandu.
PAPARAN Info Aktif untuk kemudahan pemandu.

Ruang dalaman dengan kapasiti but 380 liter sehingga 1,270 liter apabila kerusi belakang direbahkan, elemen fleksibel dan praktikal yang menjadikannya terus kekal ikonik.

Sistem hiburan menyediakan slot kad SD, AUX-IN dan Bluetooth dengan skrin sesentuh memudahkan pelarasan untuk mencari siaran radio kegemaran, juga fungsi ketetapan individu serta kamera undur.

SISTEM hiburan dan maklumat dengan skrin sesentuh.
SISTEM hiburan dan maklumat dengan skrin sesentuh.

Berprestasi dengan enjin turbo TSI menawarkan keseronokan memandu selain pilihan transmisi automatik atau manual dan pemanduan ECO untuk fungsi mula/henti bagi peng­gunaan bahan api efisien melengkapi elemen yang diperlukan bagi sebuah kenderaan.

Untuk pasaran tempatan, tiga varian Golf ditawarkan dengan harga bermula RM173,390 (1.4TSI R-Line), RM246,490 (GTI) dan RM294,390 (R).

RUANG barang seluas 380 liter.
RUANG barang seluas 380 liter.

Semua varian ini hadir dengan lima tahun waranti pengeluar dan bantuan jalanan termasuk tiga tahun penyelenggaraan percuma.

Kepada pembeli sebelum 30 November depan, Skim Perlindungan Harga Volkswagen ditawarkan dengan pakej lebih menarik dan berbaloi.

VOLKSWAGEN GOLF R-LINE

• ENJIN: 1,395cc empat silinder pengecas turbo suntikan terus (TSI)

• KUASA MAKSIMUM: 150PS @ 5,000-6,000rpm

• TORK MAKSIMUM: 250Nm @ 1,500-6,000rpm

• KAPASITI BAHAN API: 50 liter

• CIRI KESELAMATAN: 7 beg udara, ESC, ABS, ISOFIX, Bantu Rehat, XDS dan Sistem Perlindungan Penumpang Proaktif.

• HARGA: RM173,390 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 8:01 AM