AEROMOBIL bakal temui pemilik pertama pada 2020.
AEROMOBIL bakal temui pemilik pertama pada 2020.
Lizam Ridzuan

INDUSTRI automotif Malaysia tiba-tiba heboh dengan isu kereta terbang bakal dikeluarkan pada hujung tahun ini yang dikatakan menggunakan kepakaran teknologi tempatan.

Pelbagai pandangan diterima daripada pengumuman yang dilakukan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof itu yang juga menyatakan prototaip kereta itu sudah ada dengan kos pelaburan sekitar RM1 juta.

Namun kenyataan itu dilanjutkan oleh beliau yang mengatakan ia bukan untuk dijual namun dibangunkan bagi kegunaan pertanian serta pengangkutan awam seperti memantau ladang selain menjaga keselamatan di sempadan negara.

Namun di luar negara, kereta terbang bukan lagi sekadar fantasi malah ia akan menjadi realiti dengan penawaran model berkaitan daripada pengeluar yang mempunyai kepakaran tersendiri seperti di Eropah dan China.

MODEL Pal-V Liberty.
MODEL Pal-V Liberty.

Satu daripadanya ialah Pal-V Liberty dari Belanda yang membangunkan idea pengeluaran kereta terbang sejak 1999 dibarisi pakar dalam dunia penerbangan dan penghasilan kereta.

Jika melihat dari segi rekaan, ia berasaskan \ konsep helikopter dipacu dengan tiga roda serta kipas yang terlipat rapi jika tidak digunakan.

Ia sudah mula dijual secara komersial pada harga sekitar RM2.3 juta yang boleh digunakan di atas jalan raya serta hanya perlu landasan yang pendek untuk berlepas.

Sebuah lagi pengeluar iaitu Terrafugia yang juga anak syarikat Geely Holding Group berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) membangunkan model kereta terbang Transition dan TF-2.

Ia adalah entiti yang dikatakan berkait rapat dengan kereta terbang keluaran Malaysia.

Geely memiliki pegangan dalam PROTON, Volvo, Lotus dan CEVT. Tahun lalu, media melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata yang pihaknya akan melancarkan tiga varian kereta terbang iaitu pemanduan automatik, kereta berkuasa elektrik sepenuhnya serta kereta terbang secara berperingkat menjelang 2019.

Sebuah lagi syarikat berpangkalan di China turut mengeluarkan kereta terbang. Ia ialah EHang dan melalui model EHang 184, ia adalah model Kenderaan Udara Autonomi (AAV) tanpa pemandu dengan kapasiti satu tempat duduk.

EHANG 184 dengan konsep dron.
EHANG 184 dengan konsep dron.

Ia menjanjikan penyelesaian pengangkutan dan komunikasi jarak dekat serta sederhana ditubuhkan pada 2014.

Syarikat pakar dalam pembuatan dan pengeluaran dron itu menghasilkan kenderaan udara digerakkan dengan kuasa elektrik lapan kipas motor berprestasi tinggi yang mampu terbang di udara selama 25 minit pada kelajuan 100 kilometer/sejam (km/j) serta pada jarak ketinggian maksimum sekitar 11,000 kaki dari aras laut.

AeroMobil yang berpangkalan di Slovakia, Eropah menawarkan model kereta terbang yang hampir sama dalam filem fiksyen iaitu AeroMobil STOL 4.0.

Ia menggunakan enjin 2.0 liter pengecas turbo 4-silinder boxer ICE petrol dengan kapasiti dua penumpang bakal diserahkan kepada pelanggan pertama pada 2020.

Dibangunkan sejak 2013 melalui model versi 2.5, 3.0 (2014) dan 4.0 pada 2017, ia membina model konsep AeroMobil VTOL 5.0 berkapasiti empat penumpang dengan konsep kereta dan helikopter dijangka dilancarkan pada 2025.

Penasihat Teknikal Tritech, Datuk Ir Haji Mohamad Dalib yang juga bekas Pengarah Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), berkata pelbagai aspek perlu diambil kira mengenai kereta terbang kerana pengendaliannya memerlukan lesen dan kemahiran berbeza.

“Namun pada pandangan saya, ia tidak mustahil untuk dihasilkan namun perlu diperhalusi dari segi perundangan dan keperluan kerana darat dan udara adalah dua permukaan yang berlainan selain teknologi autonomi yang masih lagi dalam peringkat ujian oleh kebanyakan pengeluar,” katanya.

Penganalisis automotif kenderaan daripada portal www.dsf.my dan hos radio BFM, Daniel Sherman Fernandez berkata, penghasilan kereta terbang tempatan, meskipun terlalu awal untuk ditafsirkan, dijangka bekerjasama dengan syarikat pengeluar China.

“Namun melalui pengumuman menteri yang ia bakal digunakan untuk tujuan pengangkutan serta pertanian dan bukan untuk dijual, ia relevan kerana setiap unit pasti ditawarkan pada harga yang sangat tinggi,” terangnya.

Secara keseluruhan, jika dilihat daripada keupayaan asas kita belum sepenuhnya bersedia untuk menggunakan kereta terbang seperti tiada undang-undang serta kemudahan infrastruktur yang menyokong kenderaan ini.

Bagaimana pula ia dikendalikan dan lesen memandu yang bagaimana pula perlu dimiliki oleh setiap pemiliknya serta pelbagai lagi perkara yang saling berkait termasuk isu keselamatan.

Jika melihat idea berkaitan penawaran kereta terbang di Eropah, ia lebih menjurus perkhidmatan seperti Uber dan teksi iaitu membawa penumpang dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mengelakkan kesesakan jalan raya namun sudah ada juga pengeluar yang menawarkan pra tempahan kereta terbang kepada individu yang boleh digunakan sebagai kereta serta fungsi terbang sebagai pilihan.

Namun ia dilengkapi dengan sokongan akademi latihan pemanduan sendiri serta mematuhi undang-undang ruang udara negara terbabit sebelum dilaksanakan dan bakal menjadi realiti pada tahun hadapan.

Melalui teknologi yang sentiasa pantas berkembang daripada enjin menggunakan bahan api ke arah elektrik sepenuhnya serta kenderaan tanpa pemandu (autonomi), sememangnya kereta terbang bakal menjadi revolusi mobiliti masyarakat untuk generasi akan datang.

TERRAFUGIA menggunakan enjin hibrid-elektrik.
TERRAFUGIA menggunakan enjin hibrid-elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 11:30 AM