Lizam Ridzuan

BAGI Mercedes-Benz, ia adalah model yang paling laris jualannya selain C-Class.

Ini kerana, jenama ini sudah cukup melambangkan status akan tahap kehidupan pemiliknya yang menjadi idaman ramai.

Dilancarkan awal 2019, Mercedes-Benz E 350 AMG Line kini menduduki barisan paling atas varian E-Class untuk pasaran di negara ini yang menggantikan model E 350 e iaitu segmen Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-In (PHEV) yang dilancarkan sedikit masa lalu.

Vroom Metro Ahad berkesempatan memandu uji model itu yang didatangkan dengan kemasan AMG Line melalui enjin serta sistem bantu pemandu baharu yang diperkenalkan.

MERCEDES-Benz E 350 AMG Line. FOTO Nurul Shafina Jemenon
MERCEDES-Benz E 350 AMG Line. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Melihat pada luaran, gaya bentuk rekaan yang sederhana namun tampil elegan menyerlahkan ia sebagai pendahulu segmen limosin eksekutif premium di negara ini.

Rekaan lampu hadapan projektor dengan multibeam LED dan ‘Adaptive Highbeam Assist Plus’ juga lampu nyalaan siang (DRL) menjadikan ia mudah dilihat dari jarak jauh selain jelas untuk pencahayaan.

REKAAN hadapan menyerlahkan status. FOTO Nurul Shafina Jemenon
REKAAN hadapan menyerlahkan status. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Rim aloi AMG 19 inci dengan bentuk lima jejari berkembar serta pakej ‘night’ dengan cermin sisi dan bumbung hitam memberi imej lebih sporty.

Bampar hadapan dengan rekaan gril krom dan hitam menjadikan ia tampak lebih prestasi.

Kombinasi lampu belakang LED dengan nama model pada pintu but serta ekzos berkembar menjadikannya tampil lebih bergaya.

GAYA ringkas pada bahagian but. FOTO Nurul Shafina Jemenon
GAYA ringkas pada bahagian but. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Untuk ruang dalaman, ia mengekalkan sentuhan kemewahan dan prestasi melalui kemasan gentian karbon dan kulit nappa AMG Line juga konsol tengah dengan warna hitam piano.

Lampu suasana (64 warna) serta kawalan suhu automatik Thermotronic dua zon dan bumbung panorama, langsir matahari elektronik pada tingkap belakang adalah ciri mewah yang disediakan.

Kerusi penumpang hadapan dengan larasan elektrik serta fungsi memori bagi disesuaikan dengan pilihan posisi individu untuk pemandu serta pasangan.

RUANG dalaman mewah. FOTO Nurul Shafina Jemenon
RUANG dalaman mewah. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Kerusi belakang meneruskan kesinambungan keselesaan dengan bahagian tengah boleh dijatuhkan untuk nisbah 40:20:40 selain untuk perehat tangan gaya eksekutif serta disediakan penyaman udara automatik satu zon.

Sistem hiburan dan maklumat dengan skrin bersaiz 12.3 inci ‘Command Online’ disertakan dengan aplikasi ‘Android Auto’ dan ‘Apple CarPlay’ untuk ketersambungan telefon pintar bagi panggilan telefon dan memainkan lagu kegemaran.

PANEL meter digital resolusi tinggi. FOTO Nurul Shafina Jemenon
PANEL meter digital resolusi tinggi. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Alunan bunyi premium Burmester dilengkapi 13 pembesar suara menyediakan kualiti muzik terbaik umpama berada di dalam dewan opera ciri utama model ini.

Untuk pemandu kluster, meter digital resolusi tinggi menyediakan pelbagai maklumat perjalanan serta gaya pemanduan juga paparan kuasa dan bateri hibrid yang dicas semula.

Bagi perjalanan jarak jauh, ruang but sehingga 540 liter cukup luas bagi membawa beg dan muatan lain.

Pintu butnya pula dikawal oleh kuasa elektrik bagi kemudahan membuka dan menutup.

BUMBUNG panorama. FOTO Nurul Shafina Jemenon
BUMBUNG panorama. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Untuk pemanduan dengan enjin 2.0L empat silinder pengecas turbo DOHC, ia menawarkan kuasa kuda 299 hp pada 5,800 rpm dan tork 400 Nm pada 3,000 rpm.

Melalui Bantuan Motor Elektrik untuk kuasa hibrid elektrik 48V, ia mencatatkan penambahan kuasa 14 hp serta tork 150 Nm dengan bateri Lithium-Ion berkapasiti 1,000 kW/h.

Pemanduan Pacuan Roda Belakang (RWD) yang dijana sembilan kelajuan automatik 9G-Tronic membolehkan ia mencapai kelajuan sehingga 250 kilometer/sejam (km/j) serta kepantasan sifar ke 100km/j dalam tempoh kurang enam saat.

KERUSI larasan elektrik dengan fungsi memori. FOTO Nurul Shafina Jemenon
KERUSI larasan elektrik dengan fungsi memori. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Model E 350 juga menyediakan Kawalan Pelayaran Aktif dengan stereng separa autonomi yang membolehkan ia mengikut kelajuan trafik serta mengawal stereng sangat membantu ketika tersangkut di dalam kesesakan jalan raya.

Melalui Kawalan Badan Kenderaan Dinamik dengan suspensi adaptif dan suspensi hadapan dan belakang Multi-Link bukan saja menawarkan keselesaan maksimum malah boleh dilaras mengikut mod pemanduan.

Untuk lebih kepuasan, lima mod pemanduan ditawarkan iaitu ECO, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual yang boleh dipilih melalui butang konsol atau Head-up Display pada kluster meter dan skrin multimedia.

Secara keseluruhan, Mercedes-Benz E 350 menawarkan limosin premium dengan ciri keselamatan dan prestasi terbaik dengan kemasan AMG Line untuk gaya sporty elegan.

ENJIN 2.0 liter pengecas turbo. FOTO Nurul Shafina Jemenon
ENJIN 2.0 liter pengecas turbo. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Selain kemantapan kawalan pada pelbagai kelajuan juga pada selekoh amat stabil menambah keyakinan kepada pemandu untuk kenderaan pacuan roda belakang (RWD) ini.

Tidak hanya prestasi, elemen keselamatan yang melindungi keseluruhan penumpang juga disediakan seperti tujuh beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan, Maklumat Titik Buta, Isofix, Brek Autonomi, Bantu Kekal Laluan dan Amaran Pelanggaran.

Antara kemudahan lain ialah kamera undur 360 darjah, navigasi binaan dalam, kemasukan dan menghidupkan kenderaan tanpa kunci dan brek parkir elektronik serta stereng pelbagai fungsi termasuk paddle shift.

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz E 350 AMG Line dijual pada harga RM399,888 dengan dua tahun jaminan pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.

Ia juga adalah model pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang. #vroomHM.

MERCEDES-BENZ E 350 AMG LINE

• ENJIN: 2.0L empat silinder pengecas turbo DOHC dengan Bantuan Motor Elektrik

• KUASA MAKSIMUM: 300 PS pada 5,800 rpm

• TORK MAKSIMUM: 400 Nm pada 3,000 rpm

• TRANSMISI: Sembilan kelajuan automatik 9G-Tronic

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 66 liter

• CIRI KESELAMATAN: Tujuh beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan, Maklumat Titik Buta, Isofix, Brek Autonomi, Bantu Kekal Laluan dan Amaran Pelanggaran

• HARGA: RM399,888 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 7:30 AM