PERSONA tampil lebih elegan.
PERSONA tampil lebih elegan.
Lizam Ridzuan

Sejak Proton Persona generasi kedua diperkenalkan pada 2016, kenderaan sedan keluarga dalam segmen-B tempatan ini menawarkan keselesaan dengan ciri terkini.

Untuk tampil dengan ciri lebih segar, selepas model Iriz, kini Proton Persona berwajah baharu bakal dilancarkan di pasaran tempatan tahun ini melalui foto rasmi Proton yang diterima awal minggu ini.

Model ini antara yang pertama mendapat sentuhan kemasan luaran baharu hasil kerjasama sebagai rakan kongsi antara Proton dan Geely yang bermula pada 2017.

Paling ketara ialah rekaan gril hadapan dengan berkonsepkan ‘busur panah’ dan gril radiator ‘Infinite Weave’ sebagai elemen utama yang mula diperkenalkan pada Proton X70.

CIRI kemasan dipertingkatkan.
CIRI kemasan dipertingkatkan.

Konsep ini tersedia pada setiap model baharu keluaran mereka kelak.

Ia turut dilengkapi lampu Nyalaan Siang (DRL) terletak pada perumah bampar dengan latar belakang bercorak ‘sarang lebah’ dan ruang kemasukan udara tampil lebih elegan pada posisi lebih rendah.

Pada bahagian belakang dengan perkataan Proton menggantikan logo, serta spoiler nipis pada but, tulisan Persona baharu menyerlahkan gaya sporty.

Antara pembaharuan lain yang diberi ialah rekaan rim aluminium 15 inci dan antena sirip ikan jerung untuk sentuhan gaya lebih premium.

RUANG dalam ciri terkini.
RUANG dalam ciri terkini.

Bahagian ruang dalaman selain skrin sesentuh berwarna, Persona juga bakal menerima ketersambungan aplikasi terkini melalui sistem fungsi arahan suara yang dibangunkan Proton dan ECARX adalah yang pertama dalam segmennya.

Persona dikuasakan dengan enjin 1.6L DOHC VVT yang ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard (Manual dan CVT), Executive dan Premium yang dijual pada harga RM42,318 sehingga RM54,669.

Tiada pengumuman rasmi setakat ini daripada Proton berkaitan varian dan harga terkini untuk Persona baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 9:00 AM