SAGA 2019 kemasan baharu.
SAGA 2019 kemasan baharu.
Lizam Ridzuan


SAGA yang terjual melebihi dua juta unit sejak ia mula diperkenalkan pada 1985 adalah penyumbang utama daripada empat juta jualan kenderaan Proton di seluruh dunia.

Untuk meneruskan legasi itu, Proton Holding Berhad baru-baru ini melancarkan model Saga 2019 dengan tiga varian ditawarkan untuk pasaran tempatan yang tampil lebih sporty.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, Proton Saga sinonim dengan jenama Proton yang mula diperkenalkan 34 tahun lalu yang kini diberi sentuhan rekaan terkini sesuai untuk golongan sasar.

“Melalui slogan Pilihan Yang Pintar, ia datang dengan tiga ciri utama iaitu gaya mengujakan, penjimatan bijak dan kestabilan mantap.

RUANG dalaman dipertingkat.
RUANG dalaman dipertingkat.

“Saga kini dilengkapi gaya baharu, kotak gear empat kelajuan dan ciri pintar yang mendahului dalam kelasnya,” katanya pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking.

Turut hadir Pengerusi DRB-HICOM Datuk Mohammad Zainal Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong serta Timbalannya Datuk Radzaif Mohamed.

Pada bahagian luaran, Saga 2019 dipasang bampar hadapan baharu dengan lampu nyalaan siang (DRL) manakala bahagian gril menerima ciri signatur ‘Infinite weave’ yang mula diperkenalkan pada X70, Iriz dan Persona terbaharu.

Bampar belakang turut dilengkapi spoiler baharu selain perkataan Proton pada penghujung penutup but dan rim aloi bersaiz 15 inci menyerlahkan rekaan keseluruhan.

SKRIN ‘terapung’ bersaiz tujuh inci.
SKRIN ‘terapung’ bersaiz tujuh inci.

Ruang dalaman pula dilengkapi dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci terapung (floating screen) untuk ketersambungan fungsi hiburan dan maklumat, Bluetooth, simpanan dalaman 16GB dan sambungan ke telefon pintar Android.

Tempat duduk juga diberi sentuhan fabrik rekaan baharu, panel hadapan tengah, paparan meter dengan Bantuan Pemanduan Eco serta tiga pengecas USB, kunci pembuka but, pelindung matahari dengan pemegang kad dan cermin, lampu peta LED dan pemegang genggaman baharu.

Kotak gear baharu yang menggantikan CVT memberikan pengendalian lebih baik untuk daya brek, sama seperti yang terdapat pada Iriz dan Persona, seterusnya mengurangkan kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH).

Untuk sistem keselamatan, Saga 2019 dilengkapi Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA).

Untuk ketiga-tiga varian, ia dilengkapi beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan ISOFIX dengan ‘top tethers’.

BAHAGIAN belakang bergaya.
BAHAGIAN belakang bergaya.

Tambahan pada varian Premium adalah Bantuan Kawalan Cerun, pengesan tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Saga 2019 menjadi satu-satunya kereta berharga kurang RM40,000 dilengkapi ciri itu.

Proton Saga 2019 dijual pada harga RM32,800 (Standard MT), RM35,800 (Standard AT) dan RM39,800 (Premium AT).

Ia didatangkan dengan pakej servis untuk kos pekerja percuma sebanyak tiga kali atau selama satu tahun, kadar faedah dengan kadar pembiayaan serendah 2.98 peratus setahun dan pakej insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:15 AM