ANIQ ingin pergi lebih jauh dalam lakonan.
ANIQ ingin pergi lebih jauh dalam lakonan.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA pelakon Aniq Durar mungkin masih asing bagi peminat filem tanah air. Namun figura ini mula mengisi senarai deretan baharu untuk drama tempatan ditayangkan di televisyen.

Siapa sangka, rezeki buat pelakon berusia 30 tahun ini makin menyerlah dan kini, tampil dalam filem pertamanya berjudul Pagari Bulan.

Berkesempatan bersua empat mata dengan pelakon berdarah kacukan Melanau-Pakistan baru-baru ini, kelihatan auranya sebagai 'the next hero' atau hero masa hadapan untuk industri seni lakonan tanah air.

"Untuk jadi 'the next hero', Insya-Allah. Kalau ia berhasil, amin. Semoga ada rezeki saya," jawabnya ringkas ketika disapa dengan soalan itu.

Aura dan perwatakannya itu juga mengingatkan kepada pelakon Malaysia yang kini mencipta nama di Hollywood, Henry Golding.

Tidak menolak, Golding menjadi antara contoh terbaik buatnya, Aniq bagaimanapun ingin beri tumpuan untuk mengukuhkan 'jenamanya' dalam negara terlebih dahulu.

"Tentu saya nak jadi seperti Henry Golding. Tapi, buat masa sekarang saya nak tumpu perhatian kukuhkan nama saya dalam industri seni tanah air terlebih dahulu," katanya.

Memulakan kerjaya seninya agak lewat, Aniq tidak melihat itu sebagai masalah buatnya.

"Setiap orang ada perjalanan tersendiri dalam meniti kerjaya seni mereka. Ada yang berpeluang memulakan langkah lebih awal, dan ada juga yang peluangnya hadir lebih lewat. Apa yang penting kita teruskan usaha dan bekerja keras, Insya Allah," katanya.

Berkongsi mengenai filem Pagari Bulan lakonannya, Aniq bercerita mengenai watak dimainkannya iaitu sebagai Leftenan Miura.

"Dalam filem Pagari Bulan ini, saya pegang watak Leftenan Miura. Dia tentera Jepun yang berintegriti dan memiliki moral tersendiri.

"Apabila datang ke Tanah Melayu, dia umpama menjadi lawan kepada Azu dan ketua mereka, Kuzawa. Dia nampaknya tidak bersetuju dengan cara mereka mengendalikan penduduk tempatan.

"Bagi menjayakan watak Miura, saya dengar arahan daripada pengarah, Raja Mukhriz yang mana, dia menjelaskan kepada saya Miura mengikuti tujuh nilai seorang samurai. Jadi, saya perlu faham dan ikutinya," katanya.

Tambahnya lagi, watak itu ditawarkan kepadanya selepas menjalani sesi uji bakat.

"Watak ini menampilkan lelaki berketurunan Okinawa. Jadi disebabkan itulah warna kulitnya lebih gelap dan penampilannya nampak lebih ke arah lelaki Asia Tenggara.

"Saya turut melalui proses uji bakat sebelum ditawar berlakon dalam filem ini. Pada awalnya, saya hadir untuk uji bakat terbuka. Namun, pihak produksi berikan skrip untuk watak Miura," katanya.

Tambah Aniq, dia turut mendapat tunjuk ajar daripada guru lakonan, Dr Norzizi Zulkifli.

"Saya juga mendapat tunjuk ajar Dr Norzizi Zulkifli yang banyak membantu agar saya dapat lebih menjiwai watak itu," katanya.

Ditanya sama ada dia bersiap sedia dengan perbandingan antara wataknya dalam filem ini dengan watak yang dilakonkan Aqasha dalam filem bergenre sama, Embun, kata Aniq, setiap watak ada keunikannya tersendiri.

"Saya tahu kewujudan filem Embun, tapi tak berpeluang menonton. Apa yang boleh saya katakan, setiap karakter ada perbezaan tersendiri.

"Bagi saya, setiap watak perlu dimainkan dengan cara berbeza kerana ia membawa perwatakan yang berbeza.

ANIQ bersama pelakon, Nazeera Sardi membintangi filem Pagari Bulan.
ANIQ bersama pelakon, Nazeera Sardi membintangi filem Pagari Bulan.

"Dalam drama, watak saya berbeza berbanding lakonan saya dalam filem. Tapi, seperti yang saya katakan, saya bangga dengan kedua-dua lakonan saya," katanya.

Ditanya babak paling mencabar, Aniq punya pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

"Mengenai babak yang paling mencabar, bagi saya ketika menjayakan babak di penjara di mana saya dikurung di sungai. Saya memang tak suka kesejukan.

"Babak itu saja memakan masa lebih kurang tiga hingga empat jam untuk dijayakan. Jadi, memang saya menggeletar habis dan anda dapat lihat hasil sebenar dalam babak itu," katanya.

Bersyukur dengan peluang diberidalam industri, Aniq meluahkan rasa bangga dengan beberapa hasil kerjanya yang kini mula ditayangkan.

"Ini filem pertama lakonan saya yang ditayangkan di pawagam. Sebelum ini, ada dua filem pernah saya lakukan namun belum ditayangkan. Selepas ini, akan ada satu lagi filem yang akan keluar berjudul Nyonya Ronggeng juga arahan Raja Mukhriz.

"Drama lakonan saya yang sedang ditayangkan adalah Riot dan juga Luruhnya Bunga Cinta. Alhamdulillah, saya bersyukurdiberi peluang untuk berlakon. Ibu saya di Kuching, Sarawak pun menyokong kerjaya seni saya.

"Bahkan, kalau dia ke kedai kopi dan sebagainya dia akan perkenalkan nama saya dan drama lakonan saya yang sedang ditayangkan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur tiga produk lakonan saya keluar lebih kurang dalam masa sama. Sebenarnya, pada Mac dan April tahun lalu saya banyak berlakon, tetapi, kebanyakan karya itu belum ditayangkan.

"Jadi kebanyakannya ditayangkan tahun ini dan itu menyebabkan orang mungkin kerap nampak wajah saya di TV dan juga di layar lebar.

"Harapnya, penonton tidak bosan dengan kehadiran saya. Lagi pula, saya dah menunggu lama dan sekarang saya rasa sangat lega," katanya.

Sentiasa bersiap sedia untuk berdepan kritikan netizen, Aniq berkata, dia bersedia untuk memperbaiki kekurangannya dalam lakonan.

"Kepada netizen terutama penonton yang menonton drama lakonan saya, saya pelakon baharu dan masih dalam proses pembelajaran.

"Jadi, saya harap lakonan dalam filem ini akan dapat ubah sisi dan perpektif penonton.

"Saya ada baca beberapa kritikan netizen. Tapi, beberapa rakan artis menasihatkan saya supaya tak membaca komen-komen negatif itu. Alasan mereka supaya saya tidak tertekan.

"Tapi, saya juga sudah bersiap sedia untuk berdepan apa juga kritikan. Saya tahu, saya takkan dapat memuaskan hati semua orang. Jadi tak ada masalah jika ada kritikan netizen," katanya.

Filem Pagari Bulan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Singapura bermula 5 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 6:00 AM