BAKAT lakonan Aniq Durar makin menyerlah, wajah segar sentiasa jadi perhatian penonton.
BAKAT lakonan Aniq Durar makin menyerlah, wajah segar sentiasa jadi perhatian penonton.
Ridzuan Abdul Rahman


Sebagai seorang pelakon yang boleh dikatakan masih 'hijau' dalam industri seni penampilan Aniq Durar dalam pelbagai drama televisyen sentiasa menarik perhatian.

Apatah lagi dilabel sebagai antara pelakon yang berpotensi diangkat sebagai hero generasi baharu.

Bakat Aniq, 31, makin terserlah menerusi drama slot Akasia, Dua Darjat yang ditayangkan di TV3 bermula 12 Jun lalu.

Kali ini Aniq, 31, digandingkan dengan pelakon cantik Sharifah Rose menerusi drama 13 episod terbitan Tanah Beris Film Production arahan Shuhaimi Lua Abdullah.

Pelakon keturunan Melanau-Pashtun dari Sarawak ini pernah membintangi drama Luruhnya Bunga Cinta di TV3, RIOT! (Astro Originals) dan Alice Kampung Baru (Tonton) yang ditayangkan akhir tahun lepas. Manakala filem pula berjudul Pagari Bulan.

"Saya sememangnya sedang sibuk dengan projek-projek drama dan filem. Memang boleh dikatakan 'back to back' berlakon. Fokus saya memang pada dunia lakonan.

"Saya juga aktif di media sosial terutama TikTok yang menjadi platform untuk saya berkongsi sedikit sebanyak berkenaan sisi saya yang lain di luar kerjaya lakonan.

"Sebagai seorang pelakon yang serius dalam kerja, saya harapkan drama ini dapat menonjolkan 'range' saya. Alhamdulillah... walaupun masih baru, saya diberikan peluang untuk memainkan pelbagai watak yang berlainan dalam projek-projek drama dan filem sebelum ini," katanya.

Menurutnya, watak Haniff dalam Dua Darjat bukanlah klise kerana karakternya yang agak stoic (tabah) dan serious.

"Khalayak dapat menyaksikan saya lakukan babak pertarungan yang juga perkara yang baru untuk saya. Malah penonton juga dapat saksikan aksi romantik Haniff dan Ariana (walaupun Haniff memperlihatkan sikap jual mahal dengan Ariana) serta babak aksi bila tengok drama ini.

"Saya juga belajar menunggang motosikal daripada pihak pengurusan saya demi memenuhi keperluan watak ini. Setiap watak yang saya mainkan sememangnya memerlukan latihan dan persiapan yang berbeza-beza.

ANIQ seronok digandingkan bercinta dengan Sharifah Rose.
ANIQ seronok digandingkan bercinta dengan Sharifah Rose.

FOKUSNYA terhadap lakonan tidak pernah terhenti.
FOKUSNYA terhadap lakonan tidak pernah terhenti.

"Saya sangat senang bekerja dengan Sharifah Rose. Dia seorang yang agak kelakar dan disebabkan itu saya rasa sangat mudah untuk mencapai keserasian ketika menghidupkan watak kami. Pelakon lain semua memang 'best' (terbaik)," katanya.

Turut membintangi Dua Darjat ialah Sharifah Zarina, Yasmin Hani, Iman Suhana, Zarul Umbrella dan ramai lagi.

"Sebelum masuk set memang saya rasa ini antara projek yang mencabar, tapi alhamdulillah dengan barisan pelakon lain yang sangat 'best' dan 'supportif' (menyokong), saya rasa semuanya lebih lancar.

"Bekerja di bawah arahan Shuhaimi Lua pun best. Banyak tunjuk ajar dan 'feedback' (maklum balas) yang diberikan oleh dia untuk saya menjayakan watak dalam Dua Darjat.

"Saya ingin ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Shuhaimi Lua kerana beri kepercayaan kepada saya dan atas kesabarannya dengan kekurangan saya sebagai pelakon baru," katanya.

Aniq kini sedang terbabit dengan penggambaran filem Kabus arahan Mark Lee di Pahang yang juga projek filem keenamnya.

"Saya juga baru selesai shooting dengan Shuhaimi Lua untuk drama romantik komedi bertajuk My Stolen First Love untuk TV3 yang akan disiarkan tahun ini juga.

"Drama Luruhnya Bunga Cinta (musim ke-2) juga akan disiarkan di TV3 tahun ini. Dua filem yang akan keluar tahun ini pula ialah Papa, sebuah filem 'horror' (seram) di mana saya berlakon sebagai Dali.

"Satu lagi filem ialah Nyonya Ronggeng sebuah 'period piece' (karya budaya tradisional) arahan Raja Mukhriz di mana saya diberikan watak yang sangat unik sebagai Chang Wei. Diharapkan semua nantikan filem ini nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 6:00 AM