HATI-HATI, Rose jaga batas pergaulan di set penggambaran.
HATI-HATI, Rose jaga batas pergaulan di set penggambaran.
Norhayati Nordin


WALAUPUN baharu 'setahun jagung' bergelar pelakon, nama Sharifah Rose, 24, semakin dikenali termasuk sering menjadi perhatian warga maya di media sosial.

Apatah lagi, dia juga pempengaruh atau 'influencer' popular.

Sedar dirinya yang sering juga menerima kritikan netizen, Rose berkata, dia sudah lali dengan semuanya dan selesa mengambil pendekatan positif saja.

Katanya, dia sedia menerima kritikan atau teguran yang diberikan.

Cuma sejak awal pembabitan dalam karier seni, Rose dilihat mudah terkait dengan gosip dan cerita sensasi.

Bercakap mengenainya, Rose berkata, dia mengakui rimas dan takut sekiranya individu dikaitkan berkenaan sudah berpunya.

"Ikutkan status saya sekarang memang 'single' (solo) dan belum dimiliki. Jadi, apabila saya dikaitkan dengan rakan pelakon lelaki yang berlakon bersama, saya ada rasa bimbang. Ini kerana, saya takut dilabel 'pengacau' milik orang.

"Mana tahu, rakan pelakon yang berlakon dengan saya itu dah ada yang punya, tiba-tiba nanti timbul cerita lain dan tak mahu macam itu," katanya yang lebih selesa berbaik-baik saja dengan semua orang di lokasi.

Turut ditanya kesediaannya jika bercinta dengan pasangan sesama pelakon, Rose berkata, soal jodoh sukar nak diperkatakan sebab tak tahu datang dari mana. Apatah lagi, ramai juga pelakon yang bertemu pasangan sesama pelakon.

"Buat masa ini, saya tidak mencari untuk menjalin hubungan dengan pelakon. Mungkin tak kena dengan rutin dan jadual bekerja nanti.

"Apa pun, sekarang saya nak fokus pada karier dulu. Lagipun, kini masih bercuti daripada lakonan, jadi saya ingin tumpu kepada perniagaan. Saya ada perancangan dan strategi perniagaan yang nak dibuat," katanya.

Mengulas juga mesej peminat wanita yang mungkin bengang kerana dia dikaitkan rapat dengan pelakon lelaki diminati mereka, Rose berkata, dia ada menerima mesej sebegitu berbaur kecaman menerusi DM di Instagram.

SERING muncul dalam drama TV3, Rose anggap rezeki.
SERING muncul dalam drama TV3, Rose anggap rezeki.

"Biasalah peminat, saya juga tidak boleh mengawalnya. Jadi, layankan saja. Bagaimanapun, sekarang saya sibuk dengan kerja dan tiada masa nak fikir lagi soal jodoh. Malah merancang untuk kahwin pun lambat lagi.

"Saya masih muda dan banyak perlu diterokai dalam karier. Jadi, biar stabil dan cukup pengalaman dulu. Kalau boleh, saya tak mahu terburu-buru kerana mencari lelaki yang matang pemikiran. Ini kerana, ada juga lelaki usia dah meningkat, tapi tak matang lagi," katanya.

Terdahulu, difahamkan juga Rose pernah menjalin cinta dengan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Aazief Khalid. Bagaimanapun, hubungan mereka putus pada September 2020 lalu. Selain itu, Rose juga pernah dikaitkan 'berkasih' dengan penyanyi, Ismail Izzani.

Enggan melatah, Rose berkata, dia akur dengan lumrah kehidupan selebriti yang sering menjadi perhatian. Katanya, itu 'harga privacy' yang perlu dikorbankan. Namun Rose sedar tiada manusia terlepas dari membuat kesilapan.

Hati-hati, masih mencuba

Rose atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira yang 'selalu' muncul dalam hampir semua slot drama utama di TV3 berkata, dia menganggap setiap peluang diperoleh itu adalah rezeki.

"Setakat ini, drama lakonan saya kebanyakannya untuk tayangan stesen Media Prima Berhad (MPB). Ini kerana, pihak pengurusan bakat saya adalah anak syarikat MPB. Jadi, keutamaannya untuk TV3," katanya yang hadir pada acara pratonton koleksi RR Bridal RTW 22, baru-baru ini.

Ditanya juga statusnya sebagai wanita bertudung yang dikaitkan untuk fesyen, Rose menjelaskan dia masih mencuba yang terbaik untuk menutup aurat dengan sempurna.

ROSE akui belum berpunya.
ROSE akui belum berpunya.

"Begitu juga dengan adegan bersentuhan, saya sebenarnya sangat berhati-hati dan sering berbincang bersama pengarah. Tapi, kalau ada terlepas juga (bersentuhan), saya manusia biasa yang akan membuat silap.

"Apa pun, saya sentiasa melakukan sebaik mungkin dalam lakonan dan elak bersentuhan. Saya sendiri memang tak selesa kalau bersentuhan dengan sesama pelakon, terutama jika 'hero' saya itu suami orang," katanya.

Rose berkata, dia juga sangat menjaga batas pergaulan apabila bekerja dengan lelaki sudah berkahwin.

Katanya, dia tidak mahu timbulkan gosip atau cerita kurang manis di lokasi

penggambaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 6:30 AM