BALAN tampilkan Hazama sebagai gandingannya dalam lagu Terima Kasih.
BALAN tampilkan Hazama sebagai gandingannya dalam lagu Terima Kasih.
Georgie Joseph


SELEPAS berjaya menembusi pasaran Kollywood dan dunia hiburan Tamil, Balan Kash cuba mengintai peluang baharu dengan melancarkan lagu bahasa Melayu pertamanya berjudul Terima Kasih.

Istimewanya, karya sulung Balan atau nama sebenarnya Balan Kashmir, 40, itu dibiayai dana geran Cendana dan My Creative. Dia turut menampilkan penyanyi Hazama sebagai gandingannya.

Menurut Balan, dia menulis lagu Terima Kasih bersama Mambang dan Navin 'Navigator' Kumar ketika pandemik Covid-19 melanda negara. Korusnya adalah idea Balan sendiri, yang mendapat inspirasi ketika mahu menidurkan anak perempuannya berusia dua tahun.

"Terima Kasih adalah sebuah lagu yang realistik dan refleksi jujur mengenai hidup saya. Bagi saya, makna lagu ini lebih besar daripada perkataan Terima Kasih itu sendiri.

"Lagu ini menyedarkan saya bagaimana rasa syukur itu mampu memberikan semangat untuk terus memulakan hari dan menerima apa saja yang berlaku sama ada baik, buruk, tinggi atau yang rendah.

"Rasa tenang ini boleh hadir dengan mudah apabila kita sering bersyukur untuk setiap perkara," katanya.

Balan juga memutuskan untuk berkongsi kisah peribadi hidupnya menerusi muzik video lagu terbabit. Menurutnya, dia sangat bersyukur apabila berjaya menempa nama tanpa kenal erti lelah selama ini.

"Muzik video Terima Kasih adalah adaptasi hidup saya. Bagaimana saya membentuk diri sebagai artis, bermula sebagai penyanyi indie yang gigih menempa nama.

"Dan kini, saya boleh berbangga selepas akhirnya dapat mempersembahkan lagu sendiri berjudul Start That Thiruvizha di konsert Anirudh baru-baru ini," katanya.

Bagi Balan, dia juga amat bersyukur kerana rasa cinta dan minat mendalam terhadap muzik, membawa peluang untuknya berjumpa dan bekerjasama dengan orang berbakat serta menjadi idola.

BALAN teruja dapat lancar lagu Melayu pertama, Terima Kasih.
BALAN teruja dapat lancar lagu Melayu pertama, Terima Kasih.

"Lagu ini juga berkisar bagaimana kegigihan saya bekerja dan mengusahakan apa yang saya suka semata-mata untuk menyara keluarga. Terima Kasih juga menceritakan siapa saya pada hari ini dan bagaimana saya berusaha menjadi yang terbaik.

"Bukan saja sebagai artis, tetapi juga sebagai anak, bapa, suami dan sahabat," katanya.

Dalam pada itu, Hazama juga jelas sangat berbesar hati apabila dapat menjalin kerjasama dengan Balan. Menurutnya, dia sudah lama mengikuti bakat Balan dan karya penyanyi berkenaan sepanjang kariernya.

"Saya teruja apabila diberii peluang untuk bekerjasama dengan nama besar daripada industri muzik Tamil seperti Balan. Sebenarnya ramai bakat tempatan yang kurang menerima perhatian daripada media dan orang ramai.

"Ini kerana, mereka tidak menyanyi dan melakukan persembahan dalam bahasa Melayu. Namun, kita semua adalah rakyat Malaysia dan saya mengharapkan kerjasama merentasi bahasa ini dapat diteruskan lagi," katanya.

Balan adalah nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia sebagai pemuzik rap berbakat yang serba boleh. Malah dia juga terkenal sebagai antara artis yang mampu menguasai tiga bahasa.

Sehingga hari ini, Balan pernah bekerjasama dengan beberapa nama hebat lain dalam muzik seperti Joe Flizzow, Reshmonu, Anirudh Ravichander, Santesh dan ramai lagi. Bukan itu saja, dia turut mempunyai rekod penstriman sebanyak 20 juta sepanjang kariernya dalam bidang muzik.

Single Terima Kasih dilancarkan oleh Believe Music di semua platform penstriman digital bermula 16 Disember lalu. Muzik video pula kini boleh mula ditonton di saluran Youtube label muzik Balan sendiri, Third Eye Music.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:48 AM