Oleh Nazri Abu Bakar

Mampu menyanyi dalam 15 bahasa antara kelebihan ditonjolkan Adnan Mat Som, 50, ketika menghiburkan pengunjung kedai makan dan pelancong di Tanjung Kling, di sini.

Malah, gaya dan kefasihan dalam menyampaikan bahasa asing itu jelas mengagumkan sesiapa saja berikutan sebutannya begitu lancar.

Bagaimanapun, tidak ramai tahu pemuzik jalanan itu mengambil masa enam bulan untuk menguasai sesetengah bahasa terutama dalam penyampaian lagu.

Adnan atau lebih dikenali sebagai Otaiz Busker berkata, dia mempelajari semua lagu terutama dalam bahasa asing menerusi YouTube bagi memastikan sebutannya tepat dan betul.

“Saya bimbang jika tersalah sebut ia beri makna salah, selain bimbang dimarahi pendengar terutama pelancong dari negara itu.

“Sehubungan itu, saya akan memastikan menghafal skrip lagu serta berulang kali berlatih sebelum menyanyikan lagu baru pada majlis umum,” katanya ketika ditemui di Tanjung Kling, semalam.

Antara lagu yang mampu disampaikan dengan baik oleh Adnan termasuk dalam bahasa Jepun, Korea, Brunei, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Nepal, Kemboja, Bangladesh, Perancis, Portugal, Tamil, Hindi dan Mandarin.

Katanya, bagi dialek pula dia mampu menyampaikan semua lagu mengikut negeri sama ada Sabah, Sarawak, Perak, Pahang, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Adnan berkata, konsep busking menjadi sumber pendapatan buatnya sejak 10 tahun lalu dan menjadikan beberapa lokasi terutama di Bandar Hilir sebagai tapak untuk menghiburkan pelancong dari dalam dan luar negara.

Berbekalkan sebuah gitar, dia selamba menyanyikan pelbagai lagu mengikut dialek bahasa berbeza sehingga menarik minat ramai pelancong untuk menyanyi bersama.

“Minat menyanyi ini mulanya hanya memenuhi tuntutan hobi tetapi kini menjadi sumber pendapatan bagi saya. Dulu, saya ada band sendiri ketika menuntut di Institut Kemahiran MARA Jasin.

“Namun saya dan seorang lagi rakan, Zukarnain Baba, 52, kini sudah membawa haluan masing-masing,” katanya.

ADNAN menghiburkan pelanggan di sekitar Tanjung Kling, semalam.
ADNAN menghiburkan pelanggan di sekitar Tanjung Kling, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 6:10 AM