Noor Hidayah Tanzizi

“MEMELIHARA kucing dengan jumlah banyak mempunyai kepuasan tersendiri, malah lebih seronok melihat kucing yang bersaiz besar dengan berat lebih lima kilogram (kg) seekor,” kata seorang pencinta kucing, Amni Afiqah Mohd Sidek, 30.

Suri rumah yang memiliki 20 kucing baka tempatan dan luar negara itu mengakui dirinya puas apabila dikelilingi kucing bersaiz besar tambahan pula haiwan terbabit sentiasa manja serta mesra walaupun ada yang kelihatan garang.

Amni Afiqah berkata, memelihara kucing adalah hobi yang dikongsi bersama keluarga terutama arwah ibunya, Hamimah Ibrahim, 57, yang meninggal dunia akibat komplikasi pembedahan membuang batu dalam hempedu, dua tahun lalu.

“Arwah mak sangat sayangkan kucing dan walaupun mak tak sempat pesan apa-apa pada kami, namun saya tahu dia pasti mahu saya terus menjaga semua kucing ini.

“Sebab itu saya tidak akan beri kucing kepada orang walaupun ada yang minta kerana ia mempunyai memori tersendiri dan mengubat kerinduan kepada arwah selain kami sekeluarga memang pencinta kucing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Fasa 1D2, Seri Manjung, Manjung hari ini.

[Ammni Afiqah melayan sebahagian kucing peliharaannya di di Fasa 1D2, Seri Manjung, Manjung. Foto Noor Hidayah Tanzizi
[Ammni Afiqah melayan sebahagian kucing peliharaannya di di Fasa 1D2, Seri Manjung, Manjung. Foto Noor Hidayah Tanzizi

Menurutnya, semua kucing peliharaannya adalah kucing terbiar, dibuang berhampiran rumah selain diberi oleh kenalan dan hanya seekor saja dibelinya sendiri.

“Bela kucing ini boleh dianggap terapi kerana ia menenangkan jiwa dan sebelum ini kami ada lebih 30 kucing tetapi sudah banyak yang mati dan hilang.

“Dahulu ayah (Mohd Sidek Zambri) suka bawa balik kucing jalanan kerana kasihan dan kami pernah bawa pulang kucing dari Kuala Lumpur,” katanya yang memiliki kucing ‘Domestic Long Hair’ dan ‘Domestic Short Hair’ selain import seperti baka Parsi.

Ibu kepada seorang anak lelaki itu berkata, saiz kucing peliharaannya lebih besar berbanding saiz normal baka itu yang hanya tiga kilogram saja kerana kesan dimandulkan selepas melahirkan anak.

Menurutnya, langkah memandulkan kucing dapat membantu mengelak kucing membiak sehingga menimbulkan masalah lain seperti penyakit, meninggalkan rumah ketika musim mengawan dan kencing merata-rata.

“Kucing kami bersaiz ‘sihat’ dan berat badannya bertambah selepas dimandulkan. Walaupun dianggap tidak elok, saya terpaksa berbuat demikian kerana mahu mengawal pembiakannya supaya tidak ada masalah lain nanti,” katanya.

Amni Afiqah bersama kucing peliharaan yang bersaiz besar dengan berat lebih lima kilogram seekor di rumahnya di Fasa 1D2, Seri Manjung, Manjung. Foto Noor Hidayah Tanzizi
Amni Afiqah bersama kucing peliharaan yang bersaiz besar dengan berat lebih lima kilogram seekor di rumahnya di Fasa 1D2, Seri Manjung, Manjung. Foto Noor Hidayah Tanzizi

Menurut Amni Afiqah, setiap kucing itu diberi nama mengikut jenama kereta dan motosikal seperti Honda, Yamaha, Ferrari, Ducati, Suzuki serta Porsche.

Katanya, ada juga yang diberi nama Tompok, Kimchi, Puma dan Ronaldo.

“Kami memperuntukkan RM1,000 sebulan untuk makanan serta pasir kucing, malah setiap bulan juga kami akan mengambil perkhidmatan selenggara khas dan vaksin.

“Kucing sakit pun kami akan jaga dan tak kisah berbelanja lebih untuk kucing kerana percaya rezeki tidak akan terputus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 9:00 PM