OYEN yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Julai lalu mendapat perhatian apabila ramai individu mahu menjaganya. FOTO Ihsan Dr Zul Erwan
OYEN yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Julai lalu mendapat perhatian apabila ramai individu mahu menjaganya. FOTO Ihsan Dr Zul Erwan
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kucing tular dinamakan Oyen yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu terus mendapat perhatian apabila ramai individu tampil mahu menjaganya.

Bagaimanapun, ada beberapa pihak didakwa membuat kutipan dana untuk kucing yang dikatakan berada berhampiran lokasi nahas pada hari kejadian itu sebelum diselamatkan petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pemilik Klinik Veterinar Zul Erwan, Dr Zul Erwan Azmi yang merawat Oyen berkata, sejak kisah kucing itu tular di media sosial ramai individu yang berhasrat untuk membela Oyen, namun hasrat itu tidak dapat dipenuhi.

Menurutnya, ia kerana Oyen sudah mempunyai 'tuan' iaitu salah seorang petugas KKM yang menemui dan membawa kucing itu ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan.

"Klinik ada menerima banyak DM (mesej) dan panggilan untuk mengambil membela Oyen tetapi ia tidak dibuka untuk 'adoption' kerana sudah mempunyai tuan iaitu salah seorang 'team' ambulans KKM yang membawanya ke klinik kerana dia mahu membela Oyen.

"Pada saya biarlah individu yang mahu menjaga Oyen adalah kerana betul-betul mahu menjaganya bukan kerana kucing itu sudah tular.

"Masih banyak kucing jalanan di luar sana yang sangat memerlukan bantuan dan jagaan (jika prihatin dengan nasib kucing jalanan)," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dalam masa sama pihaknya juga mendapat maklumat ada beberapa pihak yang membuat kutipan dana untuk menampung kos rawatan Oyen, namun bagi pihak klinik mereka tidak membuka sebarang tabung sumbangan untuk kucing itu.

"Ada individu yang menghubungi kami untuk mendapatkan kesahihan sumbangan itu kerana mereka terlihat hantaran mengenai derma untuk Oyen.

"Bagi pihak klinik, kami tidak membuka apa-apa bantuan untuk Oyen kerana kos rawatannya tiada masalah setakat ini. Jadi kami berharap orang ramai lebih berhati-hati jika ada sebarang kutipan dana atas nama Oyen," katanya.

Sementara itu, Dr Zul Erwan turut menyifatkan empat petugas ambulans KKM daripada Sungai Buloh iaitu Mohd Azwa Mohd Zain, Arlyia, Richie Bobby Bujang dan Tommy Leo Rahsak adalah hero sebenar kepada 'Oyen Elmina'.

Katanya, dua petugas berkenaan juga turut datang melawat Oyen di kliniknya, semalam dan mengakui ramai pihak yang prihatin serta mengambil berat mengenai kucing berkenaan.

"Setakat ini keadaan Oyen stabil serta memberi kerjasama penuh ketika rawatan cuma kesan trauma dan terkejut masih ada pada Oyen," katanya.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah Oyen yang ditemui berhampiran lokasi nahas pesawat terhempas yang mengorbankan 10 nyawa oleh petugas KKM sebelum diberikan rawatan awal dibawa pulang dan kemudiannya dihantar ke klinik veterinar untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 1:53 PM