TANGKAP layar video tular menunjukkan Nur Afiqah menangisi kematian dua kucingnya serta gambar Haehae yang mati menjadi mangsa ular sawa. FOTO TikTok dan Nur Afiqah.
TANGKAP layar video tular menunjukkan Nur Afiqah menangisi kematian dua kucingnya serta gambar Haehae yang mati menjadi mangsa ular sawa. FOTO TikTok dan Nur Afiqah.
Noor Hidayah Tanzizi


Shah Alam: Bagi pencinta kucing, kematian haiwan peliharaan yang sudah dianggap seperti sebahagian ahli keluarga sangat menyedihkan, malah pemergian si bulus itu pasti akan ditangisi.

Itu yang dirasai seorang wanita yang menangis kesedihan apabila dua kucing kesayangan dipelihara sejak kecil mati ditelan dan dibelit ular sawa di rumah keluarganya di sini, pada 4 Julai lalu.

Video Nur Afiqah Zainuddin, 28, yang menangisi kematian dua kucing peliharaannya iaitu Moji dan Haehae mengundang sebak netizen terutama pencinta haiwan hingga meraih 5.6 juta tontonan selepas dikongsi di TikTok, Ahad lalu.

Berkongsi kisah itu, Nur Afiqah yang berkerja sebagai pembantu penyediaan makanan berkata, dua kucing berkenaan dipelihara sejak kecil, malah ibu haiwan itu juga dipeliharanya sebelum ini.

Menurutnya, ketika kejadian dua kucing berkenaan diletakkan dalam sangkar di luar rumah bersama seekor anak kucing, Ceddy yang juga anak kepada Haehae untuk dihantar vaksinasi.

Katanya, dia tidak dapat mengawal perasaan dan menangis ketika adiknya memberitahu berita sedih itu dan pada mulanya menyangka kucing kesayangannya mati kerana sakit.

"Ketika saya keluar rumah kira-kira 6 pagi, saya rasa tidak sedap hati dan ketika itu suasana sunyi dan gelap.

"Pada 9 pagi adik WhatsApp beritahu supaya tidak mengurung anak kucing dan saya hanya membalas baik saja.

"Apabila saya balik rumah petang itu selepas habis kerja, saya lihat kawasan sangkar berselerak.

"Adik kemudiannya beritahu Moji dan Haehae sudah mati dan saya terus menangis sambil ditenangkan ibu," katanya ketika dihubungi.

Katanya, selepas keadaannya tenang, barulah keluarganya menceritakan perkara sebenar yang dua kucing itu menjadi mangsa ular sawa yang menyelinap masuk ke dalam sangkar.

"Perasaan saya ketika itu hanya Allah SWT saja yang tahu dan sangat menyedihkan apabila mendapat tahu cerita itu.

"Moji mati ditelan, manakala Haehae dibelit ular. Kami percaya Ceddy selamat kerana dilindungi ibunya, Haehae.

"Sehingga kini saya tak pergi ke kawasan sangkar, saya masih trauma dan kami tidak tahu macam mana ular itu boleh masuk kerana jaring sangkar itu tidak terlalu besar," katanya yang tinggal bersama keluarga.

Nur Afiqah berkata, tangisannya bukan kerana dia tidak reda dengan kehilangan itu namun dia hanya berasa sedih dan sangat menyayangi kucingnya walaupun hanya baka kampung.

"Hanya pencinta haiwan memahami yang saya rasakan, malah saya memelihara dua kucing itu sejak ia dilahirkan tahun lalu.

"Moji dan Haehae sangat manja, setiap kali balik kerja ia akan sambut saya dan akan minta dimanjakan," katanya yang mempunyai 13 kucing lain dipelihara bersama keluarga.

Berhubung video TikTok yang tular itu, Nur Afiqah berkata, video itu dirakam adiknya dan dikongsi di TikTok milik kakaknya serta dia berterima kasih dengan mereka yang memberinya sokongan dan kata positif.

Bagaimanapun katanya, ada juga komen yang mengguris hati, namun dia mengakui tidak mahu melayannya kerana apa yang digambarkan dalam video berkenaan adalah perasaan ketika itu yang terkejut mendapat khabar sedih mengenai kucingnya.

"Saya terima komen orang yang tanya kenapa saya meraung tetapi ketika itu saya tidak boleh kawal perasaan, malah sedih juga ada yang cakap kucing saja yang mati kerana saya menyayanginya walaupun ia hanya haiwan.

"Ada juga yang tanya kenapa sangkar kucing diletakkan di luar tetapi apa yang saya boleh cakap semua itu bersebab dan ini kejadian pertama berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 8:00 PM