SEBANYAK 18kg makanan dibawa untuk kucing di RTC.
SEBANYAK 18kg makanan dibawa untuk kucing di RTC.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP hari Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kelantan sering menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli pelbagai barangan keperluan.

Bagi pengasas Pertubuhan Kebajikan Haiwan Kota Bharu (PKHKB), Nur Azira Abdullah, lokasi terbabit sudah tidak asing bagi dirinya apabila setiap dua hari sekali dia bersama rakan pasti meluangkan masa ke sana.

Bukan saja untuk membeli barang keperluan, sebaliknya Nur Azira menjalankan kerja sukarelawan memberi makanan kepada lebih 150 kucing jalanan di kawasan terbabit.

Kebiasaannya sekitar 5 petang, dia akan memperuntukkan masa selama beberapa jam bersama kucing terbiar di situ.

Pada masa sama, kucing yang berdepan masalah kesihatan serius dibawa pulang untuk dirawat.

Selain di RTC, pihaknya turut membantu membekalkan makanan kucing di beberapa pasar lain di sekitar Kota Bharu.

NUR Azira puas dapat selamatkan kucing jalanan.
NUR Azira puas dapat selamatkan kucing jalanan.

Setiap bulan, dianggarkan sebanyak 400 kilogram makanan kucing diperlukan untuk diberikan kepada kucing terbiar di beberapa pasar di Kota Bharu.

Nur Azira berkata, dia mula menjalankan aktiviti itu sejak 2015 bersama beberapa rakan yang berkongsi minat sama.

Katanya, sebelum itu mereka aktif menyelamatkan kucing terbiar yang mengalami masalah kesihatan dan kecederaan untuk dirawat.

"Saya terpanggil untuk melakukan kerja ini secara sukarela kerana tidak sampai hati melihat banyak kucing terbiar yang kelaparan.

KUCING jalanan juga memerlukan perhatian.
KUCING jalanan juga memerlukan perhatian.

"Permulaannya, kami bergerak secara sendiri dengan mendapatkan lebihan makanan kucing daripada kedai haiwan, syarikat makanan kucing, individu dan mengeluarkan duit poket sendiri," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selepas beberapa tahun, hanya tinggal dia dan seorang rakan yang kekal aktif selepas beberapa rakan lain menarik diri kerana terikat dengan komitmen lain.

"Biarpun begitu, aktiviti memberi makan kepada kucing terbiar ini tetap diteruskan.

"Alhamdulillah pada Mac lalu, kami menubuhkan badan bukan kerajaan PKHKB supaya kerja dapat dijalankan dengan lebih sistematik " katanya.

Jelasnya, selain memberi makanan, dia turut menyelamatkan kucing yang mengalami kecederaan atau masalah kesihatan.

"Kucing ini akan dibawa balik dan diberikan rawatan sewajarnya dengan duit poket sendiri. Namun, bagi rawatan mencecah sehingga RM1,000 kami cuba dapatkan sumbangan orang ramai.

"Kini terdapat 50 kucing jalanan yang diselamatkan ditempatkan di tiga rumah kucing berasingan," katanya.

Nur Azira mengakui usaha menyelamatkan kucing terbiar ini memberi kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

KUCING yang sakit dibawa pulang untuk rawatan.
KUCING yang sakit dibawa pulang untuk rawatan.

"Kucing yang cedera atau sakit, jika dibiarkan sudah pasti ia akan mati dalam keadaan menderita.

"Menerusi usaha ini, kami dapat memberi sinar baharu kepada kucing terbiar ini untuk terus hidup," katanya.

Dia turut berharap, lebih ramai pihak tampil untuk bersama-sama membantu menyelamatkan kucing terbiar.

"Pada masa sama, pemilik kucing perlu mempunyai kesedaran dalam penjagaan kucing dengan tidak mengambil jalan mudah membuang kucing di pasar.

"Pemilik kucing boleh memainkan peranan dengan memandulkan kucing untuk mengurangkan populasi kucing terbiar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 7:00 AM