Keadaan kucing yang diberi nama ‘Aulia’ yang dalam keadaan tenat ketika dibawa ke kubur tuannya di Tanah Perkuburan Islam Senawang, belakang Econsave, Seremban. Ihsan pemilik kucing
Keadaan kucing yang diberi nama ‘Aulia’ yang dalam keadaan tenat ketika dibawa ke kubur tuannya di Tanah Perkuburan Islam Senawang, belakang Econsave, Seremban. Ihsan pemilik kucing
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Seremban: "Kucing yang kami beri nama 'Aulia' ini memang manja dengan arwah ayah, sejak ayah meninggal dunia, dia tak mahu makan.

"Aulia hanya minum air sahaja dan badannya terlalu lemah sehingga tidak berdaya berjalan, akhirnya dia menemui ajal selepas 41 hari ayah meninggalkan kami," kata Nur Atiqah Syahirah Rosman, 24.

Nur Atiqah ketika dihubungi berkata, menyedari kesedihan dan kesetiaan kucing itu, setiap hari dia membawanya ke kubur ayahnya, Rosman Wahab, 52, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang.

Kisah kesetiaan kucing itu mendapat perhatian netizen apabila dikongsi oleh seorang lelaki melalui Facebook yang simpati dengannya ketika dibawa ke tanah perkuburan itu dalam keadaan tidak bermaya kerana enggan makan selepas tuannya meninggal dunia.

Menurut Nur Atiqah, kucing itu memang manja dengan arwah ayahnya yang meninggal dunia akibat kencing manis dan setiap pagi akan makan jika disediakan oleh Rosman.

"Aulia juga akan ikut berjalan jika kami keluar menaiki kereta jika ayah ikut bersama dan apabila ayah meninggal dunia, Aulia seakan bersedih hingga tidak lalu makan.

"Memang dari dulu, kalau orang lain bagi makan, Aulia tak nak, sebulan selepas ayah meninggal dunia, Aulia tak makan, dia duduk di luar rumah dan masuk rumah pun untuk minum air sahaja.

"Kelmarin (1 Februari) adik bawa ke kubur ayah, malam itu Aulia mati dan ditanam dekat dengan rumah di bawah pokok, selepas 41 hari arwah ayah meninggal dunia," katanya.

Nur Atiqah berkata, kucing itu dibela oleh ayahnya sejak usia haiwan itu dua tahun dan kini sudah lima tahun bersama keluarga mereka.

"Kucing ini memang sangat manja tetapi hanya dengan arwah ayah sahaja. Kalau dengan kami, ibu dan dua lagi adik saya, tidaklah semanja itu. Tak sangka dia sangat bersedih sehingga tidak lalu makan.

"Aulia kucing yang cantik tetapi dia ada penyakit sawan dan sesekali bila terkena penyakit itu, ayahlah mengubatnya," katanya.

Menurutnya, kisah Aulia terus dikenang kerana kasih sayangnya terhadap arwah ayahnya sangat meruntun jiwa mereka sekeluarga yang sudah dianggap keluarga sendiri walaupun ia binatang.

Lebih menyentuh hati mereka, kucing itu turut menuruti perjalanan arwah ayahnya apabila mati selepas 41 hari 'bersedih'.

‘Aulia’ yang manja ketika bersama pemiliknya ketika dibawa bersiar-siar menaiki kereta. Ihsan Pemilik Kucing
‘Aulia’ yang manja ketika bersama pemiliknya ketika dibawa bersiar-siar menaiki kereta. Ihsan Pemilik Kucing

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:13 PM