Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelonggaran rentas negeri yang dibenarkan kerajaan sejak sebulan lalu memberi limpahan rezeki kepada pemandu kereta sewa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini apabila mereka menerima lebih ramai penumpang.

Pengerusi Persatuan Pemandu Kereta Sewa Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Pelapek) Mohd Fadir Abdullah, 36, berkata, seramai 40 pemandu yang aktif mencari rezeki di lokasi itu bersyukur kerana kini mereka menerima sekurang-kurangnya dua penumpang sehari berbanding ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya seorang penumpang seminggu.

"Alhamdulillah, sejak kebenaran rentas negeri, kami terima dua perjalanan sehari dan dapatlah pendapatan sekurang-kurangnya RM50 sehari.

"Dengan wang itu membolehkan kami menampung kos operasi termasuk minyak kereta, bayaran tempat letak kereta dan kaunter di lapangan terbang," katanya ketika ditemui di LTSIP di sini, hari ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, pada masa ini terdapat lebih 20 penerbangan sehari yang membabitkan penumpang pulang ke kampung untuk berjumpa ahli keluarga.

Pemandu kereta sewa menawarkan harga yang berpatutan untuk ke destinasi dalam Kelantan dan negeri yang berdekatan kepada penumpangnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pemandu kereta sewa menawarkan harga yang berpatutan untuk ke destinasi dalam Kelantan dan negeri yang berdekatan kepada penumpangnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Katanya, walaupun kebanyakan mereka diambil oleh ahli keluarga, masih ada rezeki buat pemandu kerana masing-masing akan mendapat dua perjalanan sehari.

Pemandu, Wan Romzi Wan Mahmud, 50, berharap selepas ini lebih ramai pelancong datang ke Kelantan memandangkan jumlah vaksinasi pada masa ini semakin meningkat.

"Kami mengharapkan kehadiran pelancong kerana mereka akan menggunakan perkhidmatan kereta sewa untuk ke destinasi masing-masing.

"Kami juga menawarkan harga yang berpatutan untuk ke destinasi dalam Kelantan dan negeri yang berdekatan," katanya.

Wan Romzi yang tinggal di Kampung Laut, Tumpat berkata, walaupun jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi, sebagai pemandu pihaknya sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak berkenaan termasuk sanitasi kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 1:44 PM