Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pemandu kereta sewa di negeri ini menarik nafas lega apabila bakal menerima bantuan menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Mereka berpendapat bantuan sekali bayaran berjumlah RM500 itu mampu mengurangkan kos sara hidup pemandu kereta sewa yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum Permai diperkenalkan kerajaan, pendapatan kira-kira 80 pemandu kereta sewa teruk terjejas susulan ketiadaan penumpang apabila kerajaan melaksanakan PKP sejak bermulanya penularan pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Pemandu kereta sewa, Abdul Rahman Abdullah, 29, berkata walaupun hanya berjumlah RM500, tetapi Permai diluluskan itu menampakkan kerajaan prihatin dengan nasib semua pemandu kereta sewa yang terkesan berikutan ketiadaan penumpang.

MAKHAN (tengah) mengelap kereta sewanya menggunakan cecair pembasmi kuman disaksikan Abdul Rahman (kanan) di stesen kereta sewa di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). FOTO Baharom Bakar
MAKHAN (tengah) mengelap kereta sewanya menggunakan cecair pembasmi kuman disaksikan Abdul Rahman (kanan) di stesen kereta sewa di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). FOTO Baharom Bakar

"Walaupun nilai inisiatif itu kecil, kami anggap bantuan itu menampung meringankan beban kewangan kami," katanya ketika ditemui di stesen kereta sewa di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, hari ini.

Warga emas, Makhan Singn, 70, berkata walaupun kerajaan melonggarkan syarat terutama membenarkan mereka membawa penumpang, tetapi kebanyakan daerah dan negeri diumumkan sebagai zon merah menyebabkan ketiadaan penumpang.

"Walaupun ketiadaan penumpang, kami tetap datang ke stesen kereta sewa setiap hari untuk mencari rezeki," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 3:57 PM