AIRLIFTZ ingin tonjolkan identiti sebagai penyanyi rap Malaysia.
AIRLIFTZ ingin tonjolkan identiti sebagai penyanyi rap Malaysia.
Georgie Joseph


KEMBALI menambah diskografinya, penyanyi Airliftz melancarkan karya lebih segarnya berjudul Princess Bubblegum, baru-baru ini. Menampilkan kelainan tersendiri, banyak unsur menarik disuntiknya.

Airliftz

atau nama sebenarnya Alif Aolani, 25, turut berani membawa jiwa lagu itu kepada visual dalam video muziknya. Dia ternyata enggan terjerat bersama kepompong selesa dirinya.

Hakikatnya, dia berjaya membawa karakter terpendamnya dalam video berkenaan sebagai lelaki penggoda. Bagaimanapun, dia memang akui tugasan itu bukan mudah terutama aksi bersama penarinya.

"Menjadi penggoda dan pada masa sama ada elemen seksi, memang agak mencabar. Ini kerana saya tak biasa tonjolkan aksi sebegitu kepada khalayak.

"Jadi, ia perkara baharu buat saya. Bersama penari terbabit iaitu Olivia, sesama kami perlu pastikan agar masing-masing rasa selesa. Ada perbincangan apa yang sesuai untuk dibuat.

"Apa-apa pun, kami berdua ada keserasian itu dan saling memahami. Tapi yang bagusnya adalah niat kami untuk memecahkan sesebuah tembok itu," katanya.

Keputusan Airliftz tampil mencampurkan lirik Inggeris dan Melayu dalam Princess Bubblegum juga ada misi besar tersendiri. Katanya, dia mahu identitinya sebagai orang Malaysia perlu dilaungkan.

SERONOK jalani proses penghasilan lagu Princess Bubblegum.
SERONOK jalani proses penghasilan lagu Princess Bubblegum.

"Kalau dengar lagu saya sebelum ini, kebanyakan ditulis dalam bahasa Inggeris. Tapi kebelakangan ini saya rasa nakkan identiti tersendiri sebagai seorang rakyat Malaysia.

"Saya nak campurkan bahasa kita sendiri kerana kalau orang Korea boleh lakukannya, kenapa kita tidak? Memang rasa seperti menghirup udara baharu, agak ambil masa juga saya menulis dalam bahasa Melayu," katanya.

Menurutnya lagi, niat menulis karya dengan lirik Melayu sebelum ini dikekang rasa kurang yakin. Paling dia risaukan apabila dirinya cuba disamakan dengan penyanyi rap lain.

"Sebenarnya saya tidak pernah yakin menulis dalam bahasa Melayu sebab orang selalu cuba samakan saya dengan penyanyi rap tertentu yang lain. Saya tak suka dibandingkan begitu.

"Saya yakin pada akhirnya nanti, setiap orang ada gaya serta cita rasa sendiri. Itu yang paling penting bagi saya. Jadi, memang itu antara cabaran sewaktu menulis lagu Princess Bubblegum," katanya.

Apa-apa pun, Airliftz nyata sangat gembira kerana proses penghasilan lagu berkenaan memberi kepuasan maksimum. Dia juga bersyukur dapat bekerja dengan pengkarya yang berpandangan jauh ke depan.

"Bagaimanapun, keseluruhan proses pembikinannya benar-benar menyeronokkan terutama bekerja dengan penerbit muzik Shelhiel yang suka jenis melangkau norma daripada aspek bunyi.

"Kami bukan terikat atau terikut dengan trend terkini sebaliknya mahu mencipta trend yang lebih ke hadapan. Kami mahu cipta sesuatu yang malar segar dan diingati untuk jangka masa lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 6:30 AM