HAKKEN sahut cabaran sambar peluang baharu terjun dalam bidang muzik menerusi lagu Sword Dance. - FOTO Aziah Azmee
HAKKEN sahut cabaran sambar peluang baharu terjun dalam bidang muzik menerusi lagu Sword Dance. - FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


Tiada mampu menghalang kemaraan bintang 'cosplay' terkenal, Hakken untuk terus terbang tinggi menggapai segala impiannya. Satu per satu projek diterokainya tanpa letakkan had pada dirinya.

Hakken, 26, tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia animasi, komik dan permainan video (ACG). Dia menjadi pujaan jutaan peminat yang benar-benar mengikuti dan meminati industri terbabit.

Terbaharu, anak jati Sarawak itu menyahut cabaran untuk terjun dalam bidang muzik secara spesifiknya nyanyian. Buat pertama kali, dia merasai sendiri proses penghasilan lagu Sword Dance terbitan Moonlight Blade M.

Dia yang juga duta Moonlight Blade M Asia Tenggara akui angat seronok terbabit projek itu. Katanya, dia suka mencuba perkara baharu kerana enggan dirinya ditimpa rasa bosan.

"Saya belum pernah lakukannya sebelum ini dan saya adalah sejenis yang sentiasa mencari cabaran baharu. Saya sukakan keterujaan. Bosan kalau lakukan perkara sama berulang kali.

"Tawaran itu sangat menarik dan cabaran baharu. Pengalaman baharu saya pelajari adalah mempersembahkan sebuah lagu penuh kerana menyanyi sekadar hobi.

"Ini kali pertama saya mendengar suara nyanyian sendiri. Mendengar dan menyaksikannya sendiri dicantum satu per satu untuk menjadi lagu penuh, sangat memukau," katanya.

Kian rancak kelibatnya muncul di khalayak, Hakken dapat rasakan banyak perbezaan sekarang. Kalau dulu ia terhad dalam acara ACG sejak dia putuskan menjadikan minatnya sebagai kerjaya profesional. S

Dia makin giat menceburi dan menyambar peluang baharu pula termasuk berjinak dengan acara gaya hidup.

Katanya, pembabitan dalam acara berbeza begitu menjadi penerus kepada keseronokan dalam diri.

"Apa yang saya lakukan sekarang banyak berbeza berbanding sebelum ini. Sekarang semakin banyak dan pelbagai jenis projek yang saya terbabit.

"Kalau dulu yang ada untuk kami adalah acara ACG. Biasanya kami membuat penampilan untuk bertemu peminat dan bertukar hobi.

"Tapi, sekarang saya sudah berjinak-jinak dengan projek bercorak gaya hidup, muzik, semakin banyak pengalaman ditimba. Seperti minggu fesyen, jadi duta di Tokyo, banyak lagi cabaran berbeza," katanya.

Menurut Hakken lagi, dia enggan terlalu sempitkan peluang dalam dunia 'cosplay' saja. Dengan tawaran berbeza dari lapangan diterima sekarang, hal itu sangat menggembirakannya.

"Saya sangat sukakannya kerana saya mencari keseronokan dalam hidup dengan hal menarik. Tapi, semestinya saya masih sukakan 'cosplay', namun kena cari keseimbangan antara kerjaya itu dan hal peribadi saya," katanya.

MAHU sentiasa cari keseronokan dalam pelbagai lapangan berbeza. - FOTO Aziah Azmee
MAHU sentiasa cari keseronokan dalam pelbagai lapangan berbeza. - FOTO Aziah Azmee

Dalam pada itu, Hakken berharap anak-anak muda yang mengidam untuk ikut jejaknya jadi bintang 'cosplay' akan tanam minat bersungguh-sungguh.

Lebih penting katanya, adalah menetapkan elemen tepat diri.

"Kena jadi jujur terhadap diri sendiri. Kalau benar-benar suka lakukan sesuatu, curah yang terbaik untuknya. Paling penting, semestinya menjadi diri sendiri. Tanam rasa bangga dalam pekerjaan dilakukan.

"Saya rasa ramai yang hilang arah tuju di pertengahan jalan. Mula tak kenal diri dan kehilangan identiti," katanya.

Dia juga tidak terkecuali dirundung masa sukar sepanjang kariernya. Katanya, padah hilang minat dalam diri mampu jejaskan kualiti corak kerja. Dia sentiasa cuba elakkan terperangkap dalam zon itu.

"Titik terendah saya adalah apabila tiada lagi idea dan keseronokan dalam diri. Kadang-kadang ia berlaku kepada saya di mana kesungguhan melakukan sesuatu yang saya suka tiba-tiba pudar.

"Sememangnya hal itu agak tidak baik dan cabaran begitu yang sangat besar sepanjang karier saya. Ini kerana, segalanya bermula dengan minat. Saya dapat tunaikan dengan baik setiap projek kerana minat.

"Namun, apabila rasa itu tiba-tiba menjunam, demikian juga kualitinya pun hilang. Apabila ia berlaku, saya kena cari penyelesaian seperti berikan diri masa berehat atau dedahkan diri dengan lebih banyak hal berbeza," katanya.

Menurutnya, pendekatan begitu sangat berguna buatnya untuk mencari inspirasi dan cetuskan semula rasa minat dalam pekerjaannya.

HAKKEN bersama peminat ketika pelancaran single Sword Dance terbitan Moonlight Blade M di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang. - FOTO Aziah Azmee
HAKKEN bersama peminat ketika pelancaran single Sword Dance terbitan Moonlight Blade M di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang. - FOTO Aziah Azmee

Dalam pada itu, Hakken juga bersyukur ramai mula buka mata bahawa industri 'cosplay' boleh membuka peluang cukup luas jika dilakukan secara profesional.

"Saya bangga dapat memperkenal industri 'cosplay' secara positif kepada khalayak di Malaysia dan agak berhasil. Orang kenal saya menerusi aktiviti kerja dan kemudian kenal 'cosplay'.

"Saya gembira dapat membawa naik industri ini kepada ramai sehingga mereka tahu kewujudannya. Ia bukan sekadar hobi, namun mampu membawa kepada banyak peluang serta tawaran," katanya.

Hakken yang mencetus fenomena sekitar 2022 di Malaysia akui ramai tidak tahu atau menganggap kewujudan industri 'cosplay' hanya hobi selama ini.

"Awal dulu memang agak kucar-kacir juga penerimaannya. Saya tidak sangka dan agak terkejut sebenarnya. Bila membaca komen dalam talian, penerimaannya sangat baik.

"Orang sangat mengalu-alukan mengenai idea baharu ini secara keseluruhan. Saya tidak mahu orang fikir bahawa komuniti ACG hanya terlalu terhad dan tidak memberi manfaat dalam kehidupan harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 6:00 AM