LUAHAN Janna Nick.
LUAHAN Janna Nick.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Janna Nick memohon maaf kepada mana-mana pihak yang 'meluat' atau tidak selesa dengan perkongsiannya sebelum ini yang didakwa sudah berpisah dengan kekasihnya, Dini Schatzmann.

Janna berkata, dia mengaku belum cukup matang dan kuat untuk mengawal situasi terbabit. 

"Saya minta maaf seandainya hantaran saya menyakitkan mata dan hati sesetengah orang.

"Saya sedar tak cukup matang dan kuat untuk mengawal situasi macam ini," tulisnya dalam hantaran terbaharu yang dimuat naik di Instagram.

Menerusi perkongsian itu, Janna memuat naik tangkap layar seorang pengikut yang meluahkan rasa kurang senang dengan perkongsian  kisah cintanya dengan Dini yang dikhabarkan sudah berakhir.

Dalam hantaran sama, Janna turut memuat naik foto dirinya di Venice, Itali bersama iringan muzik yang dikatakan single terbaharunya.

Menurut Janna, dia berjanji akan kembali dengan lebih kuat dan percaya masa akan menjadi pengubat segala kedukaan.

"Saya berjanji akan kembali dengan kuat. Hanya waktu akan merawat segalanya," tulisnya lagi.

Dalam masa sama, Janna turut memuat naik lirik lagu yang dikatakan single terbaharunya itu. 

"Terima kasih mentari setia pernah membelai hati yang dahaga, pernah mendakap jasad yang meronta, sedarlah aku sayang tidak selamanya berpanjangan,

sayangnya penghuni jiwa tidak lagi pulang," tulisnya.

Terdahulu, Janna menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat apabila memuat naik hantaran seakan-akan memberi gambaran cintanya dan Dini sudah berakhir.

Untuk rekod, Janna dan Dini mula menjalinkan hubungan cinta sejak Jun 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 6:05 PM