CABAR diri buat sesuatu yang baru. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
CABAR diri buat sesuatu yang baru. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri

HUBUNGAN cinta pelakon dan pengacara popular Janna Nick dengan pelakon baru berdarah kacukan, Dini Azan Schatzmann kini dalam fasa bahagia.

Kedua-duanya dilihat sering memuat naik gambar di media sosial selain dilihat meluangkan waktu bersama.

Bagaimanapun, menurut Janna, hala tuju hubungan mereka belum ada perkhabaran yang boleh dikongsikan melainkan mereka seronok menjalani kehidupan sebagai pasangan kekasih ketika ini.

“Hubungan kami sama seperti pasangan yang sedang bercinta. Belum ada cerita menarik yang boleh dikongsikan. Namun, sebagai pasangan yang bercinta sudah tentu masing-masing mengharapkan hubungan yang dibina ke arah lebih serius.

“Saya dan Dini ada merancang untuk membawa hubungan ini ke alam perkahwinan, tapi belum ada sebarang perbincangan yang lebih serius.

“Beri kami masa untuk nikmati dan kenal hati budi masing-masing lebih mendalam supaya hubungan kami jadi lebih mudah nanti,” katanya.

Siapa sangka, sejak menjalin hubungan secara serius mulai Jun tahun lalu, Janna mengakui mereka tidak pernah berdepan perselisihan faham atau pergaduhan besar.

Menurut Janna, kemungkinan kedua-duanya adalah seorang yang sensitif membuatkan masing-masing pandai menjaga hati antara satu sama lain.

“Kalau boleh kami tak mahu bergaduh atau merajuk secara tiba-tiba. Lagipun kami sangat mudah sensitif, jadi kami cuba elakkan untuk buat perkara yang tidak disukai.

“Orang mungkin akan kata di awal percintaan semuanya akan indah dan manis. Memang kami mengharapkan untuk hari yang mendatang hubungan kami masih baik dan bahagia,” katanya.

Menurut Janna, antara sebab dia jatuh hati dengan Dini kerana keperibadiannya yang baik hati serta selalu memberi kebahagiaan kepadanya.

“Dia adalah satu dalam sejuta. Sukar berjumpa lelaki seperti dia dan kami saling memahami antara satu sama lain. Tak pernah rasa bahagia seperti ini. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki yang baik hati,” katanya.

HUBUNGAN cinta dalam fasa bahagia.
HUBUNGAN cinta dalam fasa bahagia.

Cabaran 2020

Memasuki tahun 2020, Janna pastinya mempunyai perancangan dalam merencana kerjaya seninya supaya lebih teratur dan berjaya.

Bagi Janna, tahun ini dia akan lebih memilih dalam pemilihan sesuatu tawaran yang datang kerana mahu mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Sebagai anak seni, saya nak mencabar diri saya melakukan sesuatu yang baru bagi memperbaiki diri menjadi seseorang yang lebih baik.

“Saya sedar diri bukan elok mana jadi saya perlukan sokongan semua orang terutama pengurusan saya untuk pastikan kerjaya saya mempunyai hala tuju yang baik,” katanya.

Menurut Janna, selain terjun dalam bidang pengacaraan dan teater dia tiada perancangan untuk menerokai sesuatu yang baru sebaliknya dia mempunyai perancangan besar untuk mengembangkan perniagaannya.

“Sebagai pelakon dan pengacara saya rasa perlu belajar lagi kerana ilmu tidak akan habis sampai bila-bila. Justeru saya perlu terus mempelajari perkara baru untuk pastikan saya bersedia melakukan setiap benda.

“Insya-Allah saya bakal keluarkan banyak produk baru untuk peminat dan rakyat Malaysia. Saya ada beberapa perancangan yang lebih besar untuk majukan perniagaan saya tapi belum dapat saya kongsikan,” katanya.

Terasa kehilangan Ajak, tapi serasi dengan Awal

Janna mengakui terasa kehilangan apabila Ajak Shiro tidak lagi menjadi hos gandingannya di program Melodi selepas ini.

Menurut Janna, dia sudah menganggap Ajak seperti abangnya sendiri.

“Sudah tentu rasa kehilangan sebab kami sudah biasa setiap minggu. Kami pun sudah anggap seperti abang dan adik, tapi hidup perlu diteruskan walaupun dia sudah beralih angin.

“Dalam masa sama saya terharu kerana masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan program hiburan nombor satu ini. Saya menganggap pasukan Melodi sebagai satu keluarga dan studio Melodi di Sri Pentas adalah rumah saya,” katanya.

Mengulas mengenai gandingannya dengan Awal Ashari, Janna menyifatkan ia mudah dan tidak sukar mendapatkan keserasian.

“Bekerjasama dengan Awal memang mudah dan tidak sukar untuk mencari keserasian. Lagipun, Awal sudah lama mengendalikan program ini. Malah, perbezaan kami ini mungkin menjadikan Melodi 2020 lebih menarik.

“Saya berharap dengan Awal saya dapat peluang untuk belajar menjadi hos yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:00 AM