ARY HADRE
ARY HADRE
Ramlah Zainal


Selepas menempa nama dengan band Klangit, Ary Hadre nekad untuk bergerak secara solo serta meneruskan perjuangannya di persada muzik tanah air.

Tidak hadir dengan tangan kosong, Ary kini mempertaruhkan single terbarunya berjudul Janji Palsu sekali gus memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi solo.

Menurut Ary, single ini digubah sepenuhnya oleh Adi Priyo yang juga penyanyi 6ixth Sense sekali gus menguji kemampuan tahap vokal dan menyerlahkan kematangannya sebagai penyanyi.

“Saya yakin single baru ini akan diterima pendengar terutama peminat setia band Klangit dan akan menjadi lagu yang popular di stesen radio tempatan.

“Janji Palsu memiliki tarikan tersendiri kerana lirik lagu senang difahami serta berkait rapat dengan kehidupan seharian. Ia menceritakan mengenai pasangan kekasih yang tidak jujur dalam percintaan dan selalu menabur janji palsu hingga mereka berpisah,” katanya.

Pada mulanya, dia bimbang untuk muncul dengan single baru kerana ia lagu pertamanya sebagai penyanyi solo.

“Bagaimanapun, saya sangat teruja untuk mendapat maklum balas daripada peminat dan percaya lagu ini memiliki kekuatan tersendiri.

“Bagi saya, genre lagu ini popular sekarang dan saya tidak fikir susah untuk mempromosikannya kerana liriknya mudah difahami terutama kepada mereka yang pernah berdepan dengan masalah dalam perhubungan,” katanya.

Secara jujurnya, Ary yakin dengan kekuatan Janji Palsu kerana ia tidak terlalu jauh daripada lagu dendangan band Klangit sebelum ini.

“Proses rakaman single ini tidak begitu lama kerana saya bekerjasama dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang muzik. Seperti yang saya katakan, sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan komposer ini semasa merakam album kedua klangit.

“Alhamdulillah, setakat ini, single ini mendapat sambutan memberangsangkan walaupun tidak sampai sebulan single Janji Palsu di pasaran,” katanya.

Masih baik dengan anggota Klangit

Walaupun sudah berpecah, Ary mengakui hubungannya dengan anggota Klangit masih baik seperti dulu.

Menurut Ary, dia juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Klangit pada masa hadapan.

“Selepas berbincang secara baik, kami sepakat untuk membawa haluan masing-masing. Saya juga mengambil keputusan untuk keluar dari Klangit selepas menamatkan kontrak dengan syarikat rakaman Sony Music.

“Selepas itu, pihak Sony Music pula menawarkan saya untuk menyambung kontrak secara solo pula. Justeru, saya putuskan untuk meneruskan karier seni secara solo sekarang,” katanya.

Mengenai perancangan selepas ini, kata Ary, dia juga bakal merakamkan dua lagu tema projek filem baru tidak lama lagi.

“Ia masih dalam perbincangan. Konsep lagu ini sama dengan band Klangit. Cuma ada penambahan dari segi muzik untuk memberikan kelainan kepada pendengar di luar sana.

“Semua artis mahukan kepuasan dalam berkarya tetapi bagi saya kepuasan peminat adalah paling utama. Jauh lagi perjalanan karier muzik saya dalam industri muzik untuk bersaing dengan penyanyi solo sedia ada.

“Cuma saya ingin mencari sebanyak mungkin pengalaman dalam industri untuk menghiburkan hati semua pendengar di luar sana,” katanya.

Sebelum ini, Klangit pernah popular dengan single Sesal Mendua dan pernah mendapat Anugerah Platinum dari Sony Music. Single ini juga pernah mencatat kutipan jualan nada dering paling tinggi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 10:19 AM