AEPUL ROZA
AEPUL ROZA
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, salah satu elemen penting dalam menaikkan semangat merdeka adalah lagu-lagu patriotik.

Antara yang popular ialah Tanggal 31 Ogos, Warisan, Keranamu Malaysia dan banyak lagi yang mengisi deretan senarai lagu patriotik.

Tentunya ada formula tertentu yang membuatkan sesebuah lagu patriotik itu kekal di hati pendengar dan terus menerus menjadi pengisi Hari Kebangsaan setiap tahun.

Bagi komposer generasi baru, Aepul Roza, dia melihat formula penghasilan sesuatu lagu patriotik itu adalah pada bahasa dan perkataan
yang digunakan.

"Pertama sekali, kita cerita mengenai bahasa dan perkataan yang digunakan. Kadang-kadang ia adalah rangkuman perkataan yang mudah namun, penuh dengan nilai semangat.

"Contohnya, lagu Gemuruh yang dipopularkan Faizal Tahir. Liriknya ringkas dan mudah, tetapi kalau kita benar-benar amati, mesejnya dan jiwanya akan sampai kepada kita," katanya.

Aepul yang juga penyanyi Drama Band berkata, baginya lagu patriotik yang sentiasa menaikkan semangat patriotisme adalah Warisan yang dibawakan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

"Saya sentiasa menjadikan lagu itu sebagai rujukan jika kita membincangkan mengenai lagu patriotik. Setiap kali saya mendengar lagu itu, saya dapat rasakan satu semangat yang berbeza," katanya.

Berkongsi pengalamannya menyambut Hari Kebangsaan, Aepul berkata, pengalamannya berbeza ketika zaman kanak-kanak dan dewasa.

"Paling seronok ketika zaman kanak-kanak adalah dalam bulan kemerdekaan ada pelbagai aktiviti kebudayaan dan kita dapat memakai pakaian yang kita takkan pakai pada hari biasa.

ERNIE tak menafikan majlis perkahwinan mereka akan diadakan tahun depan.
ERNIE tak menafikan majlis perkahwinan mereka akan diadakan tahun depan.

"Contohnya, kalau pakai baju yang berkonsepkan Jalur Gemilang, tentunya akan nampak aneh jika dipakai dalam bulan Januari. Jadi, apabila dipakai dalam bulan kemerdekaan, rasa bangga dia lain macam.

"Apabila dewasa, saya dan Drama Band banyak terbabit dalam acara-acara persembahan dan alhamdulillah, setiap tahun ada rezeki untuk kami mengadakan persembahan," katanya.

Bagi penyanyi yang juga mula bertatih sebagai komposer, Ernie Zakri, dia juga berkongsi pendapat sama dengan Aepul mengenai formula yang menjadi kekuatan lagu patriotik.

"Kata-kata yang digunakan dalam lirik haruslah mudah disebut dan difahami supaya dapat menyentuh jiwa semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Selain itu, kekuatan lagu patriotik juga terletak pada melodinya yang kuat dan senang 'menangkap' jiwa pendengar," katanya.

Menurut penyanyi lagu Boneka itu, setiap lagu patriotik yang dihasilkan haruslah meninggalkan impak yang kuat di hati masyarakat.

"Contoh yang saya boleh kongsikan adalah lagu Budi Bahasa Budaya Kita yang pernah dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Mesejnya ada, tetapi tidak terlalu berat dan pada masa sama meninggalkan impak kepada setiap yang mendengar. Jadi, melodi dan liriknya harus seiring," katanya.

Memilih lagu Setia dan Tanah Pusaka sebagai lagu patriotik pilihan, Ernie juga bersyukur kerana pengalamannya sebagai penyanyi sejak kecil memberi ruang dan peluang untuk menimba ilmu serta semangat patriotisme.

"Sejak kecil, saya memang kerap membuat persembahan sempena Hari Kebangsaan. Jadi, sedikit sebanyak saya banyak didedahkan dengan lagu-lagu yang menaikkan semangat patriotisme ini.

"Menginjak dewasa, saya masih lagi membuat persembahan dan alhamdulillah, tahun ini saya terpilih untuk menyanyikan lagu Malaysia Prihatin versi simfoni hasil ciptaan Datuk Mokhzani Ismail. Secara tak langsung, sebagai anak seni, dapat juga saya menyumbang sesuatu untuk negara," katanya.

Apa yang pasti, lagu-lagu ini akan terus kekal berkumandang setiap tahun bagi mengisi ruang untuk kita semua meraikan Hari Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 6:40 AM