POSTER kempen 'Stand With Faisal Halim, Stop The Violence' dipasang di Lebuhraya Persekutuan. FOTO OSMAN ADNAN
POSTER kempen 'Stand With Faisal Halim, Stop The Violence' dipasang di Lebuhraya Persekutuan. FOTO OSMAN ADNAN
Syafiq Aznan


Kuala Lumpur: Solidariti kepada pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid terus menjadi 'skala besar' menerusi poster kempen 'Stand With Faisal Halim, Stop The Violence' dipaparkan menerusi papan media elektronik.

Pemandu dan penunggang motosikal yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur sudah pasti tidak ketinggalan menyaksikan papan media elektronik memaparkan poster kempen terbabit.

Berdasarkan poster itu dipasang di laluan utama, secara tidak langsung mesej itu diterima secara besar-besaran selain mereka tidak melepaskan peluang mendoakan kesejahteraan Faisal yang mengalami lecur kulit tahap empat.

Sebagai rekod, kempen itu dilancarkan SFC untuk menghantar bahawa tiada keganasan sepatutnya berlaku dalam bola sepak.

Malah, solidariti itu turut menyeru penyokong bola sepak tempatan supaya dapat mendoakan kesejahteraan Faisal yang ketika ini sudah mengharungi tiga pembedahan bagi merawat kecederaan dialaminya.

Selain itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut bersama-sama Faisal dan mengharapkan pemain itu dapat pulih seperti sedia kala.

"Sama-sama kita semua terus mendoakan agar pemain Harimau Malaya, Faisal Halim diberikan kesejahteraan dan kesembuhan untuk beliau pulih seperti sedia kala.

"Wira kita, Faisal Halim!," kata FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 9:56 PM