SEBAHAGIAN aksi penyokong Selangor FC yang menzahirkan tanda sokongan dan solidariti di belakang Faisal Halim yang berlangsung di Pandamaran Arena di Klang, malam tadi. FOTO ZAID AYID
SEBAHAGIAN aksi penyokong Selangor FC yang menzahirkan tanda sokongan dan solidariti di belakang Faisal Halim yang berlangsung di Pandamaran Arena di Klang, malam tadi. FOTO ZAID AYID
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pihak berkuasa diminta menyelesaikan siasatan dengan segera bagi merungkai dalang sebenar yang menyimbah asid kepada bintang bola sepak negara, Faisal Halim kerana ia jelas berniat jahat dan melanggar undang-undang negara.

Gesaan itu diluahkan penyokong tegar Selangor FC yang menanti hampir dua minggu siasatan kes itu yang masih tiada jawapan.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid berkata, jutaan penyokong setia Harimau Malaya dan Red Giants masih menunggu hasil siasatan selepas dua tangkapan dilakukan oleh pihak polis.

"Kita difahamkan ada dua suspek ditangkap tapi kedua-duanya dibebaskan atas jaminan polis, ini bermaksud siasatan masih lagi berjalan.

"Kita dipihak penyokong nak tahu siapa dalang disebalik perlakuan kejam ini dan apa motifnya. Saya harap kes ini dapat diselesaikan segera.

"Kami mahu pihak yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan tidak kira status, pangkat mahukan kedudukan," katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan solidariti bersama Faisal Halim di Pandamaran Arena di Klang, malam tadi.

Dalam program itu, pasukan Anak Sejati FC dan pasukan Kieran 11ven FC mengumpulkan puluhan penyokong Selangor dengan objektif bersolidariti di atas insiden malang yang menimpa Faisal selepas diserang dengan simbahan asid oleh dua individu tidak dikenali minggu lalu.

Selain perlawanan bola sepak, bacaan doa memohon kesejahteraan dan kesihatan Faisal diadakan selain menyorak slogan menolak keganasan bola sepak turut dilaungkan.

Malah, nombor tujuh yang sinonim dengan Faisal juga dijadikan simbolik perlawanan dengan keputusan aksi berakhir 7-7 serta jersi yang digunakan kedua-dua pasukan turut tertera nombor tujuh di belakang semua pemain.

Sementara itu, ketua pasukan Kieran 11ven FC yang juga bekas penyampai radio, Maskiran Jakiran atau dikenali dengan panggilan Kieran mengharapkan Faisal segera sembuh dan kembali beraksi di atas padang.

"Kita semua tak tahu apa motif sebenar suspek dan semua orang seluruh negara nak tahu apa sebab Faisal dilakukan sebegitu. Anak saya pun tanya, kenapa orang itu buat macam itu kepada Faisal.

"Asid sulfurik pekat itu amat bahaya, bayangkan jika terkena kepalanya dah tentu karier Faisal akan tamat dan tak boleh bermain bola lagi.

"Apapun kita doakan Faisal segera sembuh dan dapat bermain semula bola sepak, penyokong semua rindukan dia, rindukan aksinya," kata Kieran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 2:37 PM