MD Akhir ketika ditemui di pekarangan HRPB. FOTO Aswadi Alias
MD Akhir ketika ditemui di pekarangan HRPB. FOTO Aswadi Alias
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pemergian Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, yang terkorban dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut disifatkan bapa saudaranya sebagai wira dan dan perlu dibanggakan.

Md Akhir Jamaludin, 55, turut mengharapkan semua pihak mendoakan kesejahteraan korban nahas itu yang terkorban 'mempertahankan' negara.

"Memang terharulah akan pemergian wira kita yang amat dibanggakan, dan kita harap sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan kesemua mereka yang mempertahankan negara.

"Dalam berita, mereka semua (yang terkorban) bawah umur 40 tahun. Maknanya mereka muda-muda lagi berkhidmat untuk negara (yang sepatutnya berkhidmat) lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini malam ini.

Md Akhir berkata, perjumpaannya kali terakhir bersama arwah adalah pada tahun lalu dan beliau menyifatkan arwah seorang yang sememangnya baik, peramah, bahkan menjaga kedua ibu bapanya dengan baik sekali.

Menurutnya, arwah turut sempat memberitahu ibunya yang dia akan menyertai latihan pertunjukan udara bagi Hari Terbuka Armada TLDM yang sepatutnya dijadualkan berlangsung antara 3 hingga 5 Mei ini depan.

"Arwah memang baik, peramah dan menjaga emak dan bapanya dengan baik sekali. Selalunya macam itulah, (individu) yang baik selalunya 'pergi' dulu. Jadi kita reda sahaja pemergian dia.

"Arwah kalau ikutkan dari keluarga (terdekat), saya difahamkan tiada tunjukkan sebarang perubahan kebelakangan ini," katanya.

Katanya, arwah Mohammad Amirulfaris yang meninggalkan seorang balu serta dua anak berusia dua dan tujuh tahun pada asalnya lama berkhidmat di Pangkalan TLDM Lumut namun ditukarkan untuk berkhidmat di Sabah sejak dua tahun lalu selepas dinaikkan pangkat.

"Arwah baru berkhidmat di Sabah dua tahun, selama ini dia lama (berkhidmat) di Lumut namun berpindah selepas naikkan pangkat.

Menurutnya, jenazah anak saudara yang juga anak sulung dari empat beradik akan dibawa ke Senawang, Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian.

Berita berkaitan

'Selepas ini mereka mungkin balik awal selalu' - Skuadron 503

Rakan menangis, sedih terima berita nahas helikopter

Anggota TLDM terbabit nahas helikopter beri bayangan Aidilfitri terakhir

Salah seorang mangsa suami sepupu Eyra Hazali

Bedah siasat di HRPB

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur diaktifkan

TERKINI: Semua mangsa helikopter TLDM terhempas dibawa keluar

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Agong zahir takziah

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 10:21 PM