NURUL Fatin Hanani (dua dari kiri) bersama tiga adiknya ketika menziarahi pusara ibu bapa mereka.  FOTO Zuliaty Zulkiffli
NURUL Fatin Hanani (dua dari kiri) bersama tiga adiknya ketika menziarahi pusara ibu bapa mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: "Ini kali pertama saya serta adik-adik sambut Aidilfitri tanpa mama dan abah, malah sebagai kakak sulung, saya perlu sediakan segalanya untuk gembirakan hati mereka," kata Nurul Fatin Hanani Azmi, 23.

Dalam kejadian jam 1 pagi, 11 Januari lalu, bapa tirinya, Mohd Norzianal Mohd Ainol, 46, dan ibunya, Suhana Othman, 43, meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka melanggar tiang elektrik dipercayai cuba mengelak babi melintas dalam kejadian dekat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, dekat sini.

Selain Nurul Fatin Hanani, mereka meninggalkan empat lagi anak iaitu Aida Batrisya Mohd Norzianal, 17, Alia Batrisya, 16, Adam Irfan, 15, dan Adib Ieman, 8.

Menurut Nurul Fatin Hanani, segala pakaian untuk adik-adiknya dan kuih muih siap dibeli dan dia juga belajar memasak rendang serta ketupat untuk juadah di pagi raya sama seperti pernah dibuat ibunya sebelum ini.

"Walaupun rasanya tidak sama seperti yang arwah buat, saya akan tetap lakukan yang terbaik untuk adik-adik," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Pahlawan di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, adik bongsu mereka, Adib Ieman paling rapat dengan ibunya dan sering mengigau serta menangis pada waktu malam kerana teringatkan ibu bapa mereka.

Katanya, keadaan itu lebih dirasai semasa minggu pertama kejadian dan adiknya mencari ibunya ketika hendak tidur sehingga menangis setiap malam.

"Sebagai kakak sulung (berlainan bapa), saya bertanggungjawab menjaga adik, malah kena kawal emosi mereka supaya tidak terlalu sedih.

"Kami terpaksa terima ketentuan Ilahi apabila mengetahui mama dan abah sudah tiada," katanya.

Menurutnya, dia pada mulanya berhasrat berhenti belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang kerana mahu menjaga adik-adiknya.

Namun, katanya, berkat dorongan pensyarah di USM dan nenek, Norain Che Lam, 74, dia akhirnya meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Geofizik.

"Saya dijangka tamatkan pengajian Oktober ini dan akan terus menjaga adik sehingga dapat pekerjaan.

"Nenek tinggal tidak jauh dari rumah kami dan dia akan datang lawat kami selang dua atau tiga hari sekali, malah bermalam di sini jika saya pulang ke USM," katanya.

NURUL Fatin Hanani (dua dari kiri) bersama adiknya melihat gambar ibu bapa. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NURUL Fatin Hanani (dua dari kiri) bersama adiknya melihat gambar ibu bapa. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Ketika menceritakan semula kejadian itu, katanya, dia bagaikan tidak percaya apabila menerima berita ibu bapa meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira dua kilometer dari rumah mereka.

Katanya, sebelum kejadian, bapa mengajak ibu keluar makan di luar dan ketika itu mereka adik beradik hendak tidur.

"Bila terima berita mama dan abah terbabit nahas, saya dan Aida Batrisya bergegas ke lokasi untuk dan hancur luluh hati kami melihat kedua-duanya sudah kaku dan berlumuran darah.

"Allahuakbar, sebagai anak sulung, saya terlalu sedih kerana hilang tempat bergantung.

"Selepas kejadian itu, saya dan adik masih tinggal di rumah ini dan sayalah yang menguruskan segala hal kebajikan adik-adik, memasak dan segalanya.

"Arwah mama tinggalkan Perodua Alza ini dan saya gunakan sepenuhnya untuk hantar tiga adik ke sekolah manakala Aida Batrisya menunggang motosikal sendiri," katanya.

Katanya, di luar orang nampak dia tenang dan sentiasa senyum, namun tanggungjawabnya kini sangat berat apatah lagi memikul tugas sebagai ketua keluarga.

"Mama berpisah dengan bapa saya sebelum berkahwin dengan abah dan bapa saya juga meninggal dunia akibat kanser usus namun hubungan saya dengan abah rapat seperti bapa kandung," katanya.

Adiknya, Alia Batrisya berkata, pada hari kejadian jam 9.30 malam, ibunya menegur dan bertanya sama ada dia hendak memesan makanan sebelum keluar bersama bapanya.

"Namun pada jam 1 pagi, ada orang datang ke rumah dan minta lesen kereta mama. Saya pelik sebelum dimaklumkan mama dan abah kemalangan.

"Selepas itu, kakak maklumkan mama dan abah sudah meninggal dunia," katanya.

NURUL Fatin Hanani (kiri) menyusun kuih semperit yang dibeli bersama adik-adiknya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NURUL Fatin Hanani (kiri) menyusun kuih semperit yang dibeli bersama adik-adiknya. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Sementara itu, Aida Batrisya berkata, setiap kali Aidilfitri, ibunya sibuk menyiapkan kuih kegemaran mereka seperti semperit, suci dalam debu serta kek coklat.

Katanya, Adib Ieman paling sukakan semperit dan tahun ini mereka terpaksa membeli kuih itu untuk menggembirakan adik bongsu mereka itu.

Dalam pada itu, ketika mengunjungi pusara orang tua mereka, gelagat Adib Ieman memanggil ibu bapanya kerana rindu meruntun jiwa wartawan.

"Mama, abah...adik mai (datang) nak melawat ni," katanya ketika dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Baru, di sini, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 12:31 PM