LEE Zii Jia muncul juara Terbuka Thailand, semalam. FOTO ihsan PERSATUAN BADMINTON THAILAND
LEE Zii Jia muncul juara Terbuka Thailand, semalam. FOTO ihsan PERSATUAN BADMINTON THAILAND
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia mengakui lega kerana dapat bangkit semula untuk menewaskan pemain China, Li Shi Feng pada final epik Terbuka Thailand, semalam.

Pemain negara yang menduduki ranking keenam dunia itu terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Shi Feng 17-21, 21-11, 23-21 pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam 10 minit di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Zii Jia dilihat di ambang kekalahan pada set penentuan, namun aksinya yang tenang dan matang membolehkannya mengatasi Shi Feng yang juga rakannya di luar gelanggang.

Zii Jia berkata, Shi Feng ternyata memberikan saingan cukup sengit menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk menewaskan lawannya itu yang kini menduduki ranking ke-49 dunia.

"Kebangkitan yang menakjubkan dan saya gembira kerana dapat melakukannya. Terima kasih kepada penganjur pertandingan ini serta pasukan saya, Team LZJ yang sentiasa memberi sokongan sepanjang masa.

"Kepada teman seperjuangan saya, Li Shi Feng, saya pasti dan yakin bahawa permainan kita berdua amat mengagumkan.

"Ia menghiburkan semua peminat sukan badminton. Kenangan manis ini tak akan saya lupakan ditambah lagi dengan kemenangan pingat emas (memenangi aksi final). Jumpa lagi Thailand pada masa yang akan datang," katanya di platform media sosialnya.

Ia adalah pertemuan kali kedua antaranya dengan Shi Feng dengan perlawanan pertama memihak kepada lawannya itu pada China Masters 2018.

Zii Jia adalah pemain Malaysia ketiga berjaya muncul juara Terbuka Thailand selepas Yong Hock Kin (2001) dan Hafiz Hashim pada 2005.

Selepas memenangi Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina, pada 1 Mei lalu, prestasi Zii Jia terus konsisten di Piala Thomas di Bangkok apabila memenangi semua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 2:06 PM