GAMBAR (kiri) kenangan Faiz ketika kanak-kanak bersama keluarganya. FOTO Ihsan Muhammad Faiz Qudry Ridzuan
GAMBAR (kiri) kenangan Faiz ketika kanak-kanak bersama keluarganya. FOTO Ihsan Muhammad Faiz Qudry Ridzuan
Noor Hidayah Tanzizi


Mentakab: "Abang selalu doakan ayah, umi (ibu) dan adik semoga dimasukkan dalam syurga Allah dan harap abang tidak akan terpisah daripada umi, ayah dan adik apabila di alam kekal nanti.

"Walaupun tak banyak kenangan abang dengan ayah, umi dan adik tetapi abang akan ingat hal-hal yang manis dalam hidup abang semasa ada ayah, umi dan adik," itu nukilan remaja yatim piatu yang diluahkan di TikToknya.

Perkongsian coretan hati Muhammad Faiz Qudry Ridzuan, 16, yang menanggung kerinduan pada tiga insan tersayang yang meninggal dunia sejak sembilan tahun lalu di akaun TikToknya mendapat perhatian netizen, baru-baru ini.

Muhammad Faiz Qudry atau yang mesra disapa Faiz atau abang dalam kalangan keluarga kehilangan bapa, Ridzuan Ahmad kerana jangkitan kuman pada paru-paru sembilan tahun lalu, manakala ibu Zuraini Izhab @ Baharom serta adik yang juga orang kurang upaya (OKU) dua tahun selepas itu.

Berkongsi kisahnya, Faiz berkata, mereka sebelum ini tinggal di Kuala Lumpur dan bapanya meninggal dunia ketika dia berusia tujuh tahun, memaksa dirinya dan adik, Muhammad Fayyadh Qashri bersama ibu pulang ke kampung di Mentakab.

Menurutnya, dua tahun hidup tanpa kasih saya seorang bapa dia diuji lagi apabila ibu tersayang dijemput Ilahi kerana serangan jantung selepas seminggu adiknya meninggal dunia menyebabkan dirinya yatim piatu dalam usia masih muda.

"Arwah adik meninggal dunia kerana demam panas ketika berusia kira-kira lima tahun sebelum seminggu selepas itu arwah umi pula menghembuskan nafas terakhirnya. Sejak itu saya menumpang kasih bersama wan (nenek, Nora Alias, 73) dan aki (datuk, Izhab@Baharom Abdul Aziz).

"Sepanjang sembilan tahun ini saya akui memang wan, aki dan ibu serta bapa saudara kedua-dua keluarga menyayangi saya, malah perhatian dan kasih sayang terutama wan dan aki tidak berkurang. Sekarang aki juga sudah meninggal dunia, April lalu," katanya menetap di Bukit Cermin, di sini.

Katanya, dia mengakui sangat merindukan kasih sayang ibu bapa kerana baginya kasih sayang itu sudah tidak diperoleh, malah mengakui dia pernah mempersoalkan kenapa dirinya kehilangan ibu bapa ketika masih memerlukannya.

"Yang paling membuatkan saya sedih apabila melihat keluarga orang lain mengambil gambar keluarga bersama ibu bapa terutama ketika Aidilfitri. Saya bersyukur ada wan dan aki yang sayangkan saya, keluarga dua pihak juga ambil berat tetapi hakikatnya ia tetap berbeza dengan umi dan ayah.

"Saya pernah tertanya-tanya juga kenapa ambil umi dan ayah ketika usia masih kecil tetapi semakin meningkat usia saya faham mereka adalah pinjaman Allah SWT dan sudah sampai masa kembali ke 'sana' jadi saya reda," katanya.

Katanya, sembilan tahun tanpa insan tersayang tidak pernah sekalipun dia tidak mengingati mereka, malah sentiasa rindu biarpun kenangan manis bersama disifatkan tidak banyak, namun tetap menjadi kenangan paling manis dalam hidupnya.

"Saya juga masih ingat beberapa bulan sebelum arwah ayah meninggal dunia dia ajak saya balik kampung dan rupa-rupanya dia mahu saya bersunat di sana sebelum tidak lama selepas itu ayah tinggalkan saya.

"Arwah umi dan ayah pernah cakap mahu melihat saya masuk universiti tetapi hasrat itu tidak kesampaian tetapi biarpun tanpa mereka saya tetap akan tunaikan impian itu untuk saya belajar hingga ke universiti suatu hari nanti.

"Sekarang hanya gambar menjadi pengubat rindu dan rezeki saya apabila arwah umi dan adik dikebumikan berhampiran kubur ayah dengan kubur adik di tengah antara umi dan ayah. Saya berharap kami sekeluarga akan berkumpul di 'sana'," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Cermin itu.

Berhubung video TikToknya, Faiz berkata, video itu dikongsi hanya suka-suka mengikut trend di akaun sosial yang banyak menghasilkan video bersama keluarga masing-masing

"Saya berterima kasih dengan sokongan dan doa daripada netizen untuk keluarga kami, malah rakan arwah umi dan ayah juga ada komen membuatkan saya terharu mereka masih ingat dan bercakap mengenai kebaikan arwah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 3:20 PM