GAMBAR Ernie bersama Allahyarham ibu mentuanya pada majlis pernikahannya dengan Syamel pada Mac lalu.
GAMBAR Ernie bersama Allahyarham ibu mentuanya pada majlis pernikahannya dengan Syamel pada Mac lalu.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Allah pinjamkan umi untuk saya selama lima bulan saja. Tiada kekesalan, hanya kenangan yang manis-manis," kata penyanyi Ernie Zakri mengenai ibu mentuanya, Wan Faaizah Karim, 55, yang meninggal dunia, Isnin lalu.

Ernie berkata, dia juga bertuah kerana mendapat ibu mentua yang terlalu baik.

"Rezeki saya dapat ibu mentua yang terlalu baik, kelakar, 'sporting', penuh dengan pesanan dan nasihat. Terlalu banyak yang saya belajar dengan umi, walaupun diberi masa singkat.

"Saya tidak tahu sama ada saya sudah menjadi menantu yang baik kepada umi dan ayah, tapi apa yang pasti, umi sudah menjadi ibu dan ayah mentua yang baik kepada saya," katanya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Gundah itu berterima kasih atas segala kenangan sepanjang mereka bersama.

"Terima kasih umi. Saya sayang umi sangat. Hanya Allah yang tahu. Terima kasih untuk semua kenangan indah. Terima kasih juga untuk mereka yang mendoakan umi. Semoga yang baik-baik Allah balas kepada anda semua," katanya.

Menerusi hantaran dimuat naik di Instagam, Syamel turut menulis di ruangan komen yang mengakui arwah ibunya sangat menyayangi Ernie.

"Dia (umi) sayangkan awak sangat-sangat. Ingat senang nak 'approve' (luluskan) orang lain jagakan anak umi," katanya.

Terdahulu, ibu kepada Syamel dilaporkan meninggal dunia selepas hampir dua bulan menerima rawatan di hospital akibat kekurangan oksigen dalam badan dan terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 4:17 PM