MAHADI (tengah) menyantuni Mohammad Zuasraf (kiri) dan Mohd Khairul Anuar di rumah mereka di Kampung Padang Mokan, Peringat. Foto Hazira Ahmad Zaidi
MAHADI (tengah) menyantuni Mohammad Zuasraf (kiri) dan Mohd Khairul Anuar di rumah mereka di Kampung Padang Mokan, Peringat. Foto Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Titipan pesanan ditinggalkan arwah ibunya membuat seorang adik sanggup berkorban untuk menjaga abang sulungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal.

Walaupun rakan seusia sibuk melayari jiwa muda, Mohammad Zuasraf Zulkifli, 25, berpegang kepada amanah ditinggalkan ibunya supaya tidak mengabaikan abangnya, Mohd Khairul Anuar, 33, atau Abang Long.

Mohammad Zuasraf berkata, Abang Long tidak mempunyai banyak kerenah kecuali dia akan merengek atau berasa janggal apabila pertama kali berjumpa orang tidak dikenalinya.

Menurutnya, selepas arwah ibu, Rohati Awang meninggal dunia enam tahun lalu akibat penyakit talasemia, adiknya, Muhammad Adli Zulkifli, 23, menjaga Abang Long selama tiga tahun sebelum dia menyertai latihan ketenteraan pada 2018.

"Sejak itu, saya mengambil keputusan berhenti bekerja di sebuah kilang membuat batu bata kerana mahu memberikan sepenuh perhatian kepada Abang Long.

"Meskipun ada adik-beradik lain namun ada di antara mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga.

"Pada masa sama, saya tidak mahu membebankan ayah, Zulkifli Ismail, 60, jadi biarlah saya yang berkorban menjaga Abang Long seperti yang diamanahkan arwah umi," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Padang Mokan, Peringat di sini, kelmarin.

Terdahulu, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang menyantuni keluarga itu apabila menyerahkan sumbangan dalam Program Yadim Peduli Bantuan Ramadan/Aidilfitri bagi meringankan beban yang ditanggung.

Menurutnya, rutin hariannya adalah menyuapkan makan, memberi minum dan memandikan Abang Long selain membawanya bersiar-siar untuk mengambil angin

Katanya, keadaan abangnya hanya terlantar di atas tilam dan tidak boleh bercakap.

"Kadangkala ada juga terfikir, andainya saya berkahwin, adakah pasangan saya nanti sudah bersedia untuk bersama-sama mengurus serta menjaga Abang Long," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03114-29- 00020228-5 atas nama Zulkifli Ismail atau menghubungi Mohammad Zuasraf di talian 013-5993976.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 6:00 AM