NAZURAH Nabilah (belakang, tiga dari kiri), bersama ibu saudara dan tujuh adiknya ri rumah mereka di Seksyen BB7, Bukit Beruntung. FOTO Eizairi Shamsudin.
NAZURAH Nabilah (belakang, tiga dari kiri), bersama ibu saudara dan tujuh adiknya ri rumah mereka di Seksyen BB7, Bukit Beruntung. FOTO Eizairi Shamsudin.
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Dia sedih dan merasa kehilangan selepas pemergian ibu bapa tersayang, namun sebagai kakak sulung, Nazurah Nabilah Benyajeed terpaksa tabahkan diri demi tujuh adik yang masih kecil.

Penuntut berusia 19 tahun itu juga enggan hanyut dengan perasaannya kerana mahu kuat di hadapan adik berumur antara empat hingga 18 tahun.

Berbekal pesanan akhir arwah bapa, Benyajeed Bernie yang meninggal dunia akibat Covid-19, Nazurah Nabilah menguatkan diri untuk meneruskan kehidupan bersama semua adiknya.

"Along (Nazurah) ingat pesan ayah, supaya walau apa terjadi, kami adik beradik jangan berpisah. (Jadi) Along akan jaga adik-adik dan kami reda dengan pemergian ayah serta ibu," katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Bukit Beruntung di sini, hari ini.

Terdahulu, lapan beradik yatim-piatu itu menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menyampaikan bantuan.

Menurut Nazurah Nabilah, arwah bapanya yang berusia 45 tahun meninggal dunia pada 16 Julai lalu, manakala ibu, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai.

"Arwah ibu disahkan positif Covid-19 dulu dan ayah menjadi kontak rapatnya serta dimasukkan ke hospital pada 30 Jun lalu.

"Arwah ayah pernah menghidap angin ahmar 10 tahun lalu, manakala ibu mempunyai penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi. Kedua-dua mereka juga belum sempat disuntik vaksin Covid-19.

"Mula-mula memang sedih, namun apabila melihat adik-adik menangis, saya perlu kuat dan menjadi tonggak utama keluarga," katanya.

Gadis cekal itu berkata, dia tidak boleh terlalu melayan perasaan sedih berpanjangan supaya adiknya tidak merasa kehilangan dan mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

"Saya juga mahu adik-adik berjaya dalam pelajaran dan tidak mahu hidup mereka terumbang-ambing kerana walau apa terjadi kami kena kuat dan tidak tercicir dalam pelajaran

"Setakat ini juga, kami belum ada rancangan untuk tinggal bersama nenek di Pahang. Mak cik yang menjaga kami sekarang ini," katanya.

Dia juga memberitahu bersyukur dan gembira menerima kunjungan Ismail Sabri selain lega apabila ramai puhak membantu mereka.

Kisah lapan beradik itu tular di media sosial sejak Selasa lalu dan mendapat perhatian ramai selepas menjadi yatim-piatu sekelip mata apabila ibu bapa meninggal dunia kerana Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:06 PM