MAS Ermieyati, gambar fail. FOTO NSTP
MAS Ermieyati, gambar fail. FOTO NSTP
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pendengaran rayuan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid, terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka yang menolak petisyennya, ditetapkan di Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari tahun depan.

Petisyen berkenaan bagi membatalkan kemenangan Naib Ketua Srikandi Bersatu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, di kerusi sama.

Peguam bela Mas Ermieyati, Mohd Faizi Che Abu berkata, pendengaran itu akan dijalankan menerusi aplikasi Zoom, jam 9 pagi.

"Namun, kita akan memohon untuk prosiding itu dijalankan secara fizikal. Notis rayuan sudah difailkan pihak perayu dan kedua-dua pihak akan menerima alasan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini dalam masa terdekat.

"Pengurusan kes terakhir pada 2 Januari depan untuk pihak perayu memfailkan rekod rayuan tambahan yang disertakan dengan alasan penghakiman," katanya kepada BH selepas pengurusan kes secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar, Suhaila Haron, hari ini.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi.

Mas Ermieyati bagaimanapun mengekalkan kerusi itu selepas mahkamah menolak petisyen berkenaan, bagi menafikan kemenangan calon PN itu.

Namun, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya di depan hakim berbeza bagi perbicaraan penuh.

Pada 27 Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengekalkan kemenangan Naib Ketua Srikandi Bersatu itu sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu dibuat Hakim Abu Bakar Katar, selepas menolak petisyen difailkan calon BN berkenaan untuk membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Mas Ermieyati memenangi kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti 4,411 undi selepas menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (PEJUANG).

Mas Ermieyati memperoleh 25,604 undi manakala Abdul Hakim (21,193), Mutalib (7,445) dan Handrawirawan (507) untuk sekali gus menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 6:06 PM