Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang lelaki etnik Rohingya yang ditemukan mati dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Melor Lama di sini, semalam ditikam sebanyak 40 kali termasuk di bahagian dada.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 44 tahun ditikam rakan senegaranya yang berusia 32 tahun dalam kejadian 9.30 pagi semalam.

Katanya, hasil siasatan mendapati motif kejadian itu adalah disebabkan cemburu kerana dipercayai mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek yang berusia 29 tahun.

"Hasil siasatan lanjut kita mendapati terdapat 40 kesan tikaman termasuk di bahagian yang sama di dada. Sebelum kejadian, mangsa pergi ke rumah suspek sebelum berlaku pergaduhan. Susulan itu, suspek mengambil sebilah pisau di dalam rumah yang disewanya.

"Disebabkan itu, suspek menikam mangsa sehingga lelaki itu maut," katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhamad Zaki berkata, ketika kejadian turut ada di dalam rumah adalah isteri suspek.

Beliau berkata, suspek dan isterinya ditahan semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sebilah pisau pemotong sayur dirampas untuk siasatan lanjut.

"Suspek dan mangsa sebelum ini pernah menyewa bersama sebelum mereka tinggal berasingan bersama isteri masing-masing," katanya.

Muhamad Zaki berkata, suspek dan isterinya direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, perintah tahanan reman dibuat di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Nazri.

Semalam, seorang lelaki Rohingya dipercayai ditikam dengan sebilah pisau oleh rakan senegaranya selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Melor Lama di sini, semalam.

Mayat mangsa ditemukan di kawasan kebun jagung berhampiran rumah yang disewa oleh suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 11:43 AM
ANGGOTA unit forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki etnik Rohingya yang ditemukan mati, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA unit forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki etnik Rohingya yang ditemukan mati, semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar