ANGGOTA APM memberi rawatan kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River, hari ini. Pisau dipercayai digunakan dalam kejadian (gambar kecil). FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA APM memberi rawatan kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River, hari ini. Pisau dipercayai digunakan dalam kejadian (gambar kecil). FOTO Ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin


LELAKI maut dipercayai ditikam dengan pisau oleh jirannya selepas berlaku pergaduhan membabitkan masalah keluarga di Taman Slim Permai, Slim River, hari ini.

Dalam kejadian pada 2.30 pagi, mangsa Rosli Zulkharnain Kamarudin, 30, cedera parah di perut disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River.

Manakala, suspek lelaki berusia 47 tahun yang cedera parah di belakang kepala akibat dihentak di atas jalan dalam pergaduhan itu turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Semua mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu berlaku akibat masalah keluarga.

"Mangsa cedera parah di bahagian perut dipercayai akibat ditikam dengan pisau. Suspek pula cedera di bahagian belakang kepala kerana dihentak di atas jalan di hadapan rumah dan tidak sedar diri.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Slim River, dan mangsa (yang ditikam) disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital," katanya.

Menurutnya, berikutan itu polis menahan abang dan kakak mangsa berusia 38 serta 35 tahun untuk membantu siasatan.

Katanya, pihak polis turut merampas dua telefon bimbit dan sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 5:25 PM