GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


LELAKI warga Myanmar parah ditikam rakan senegaranya selepas bertengkar dalam kejadian di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa berusia 26 tahun didatangi rakan senegaranya berusia 24 tahun dalam keadaan mabuk sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek kemudian masuk ke dapur dan mengambil sebilah pisau lalu menikam lengan kiri mangsa.

"Kejadian disedari seorang lagi rakan mereka berusia 41 tahun yang terdengar bunyi bising lalu bertindak meleraikan pergaduhan antara suspek dan mangsa.

"Namun, ketika rakan mereka menghalang pergaduhan itu, dia mengalami kecederaan di bahu kiri selepas dihentak dengan pisau yang dipegang suspek sebelum melarikan diri melalui pintu belakang rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, dalam kejadian itu, ada beberapa individu lain di rumah yang dijadikan asrama pekerja kilang, namun mereka berada dalam bilik manakala penghuni lain keluar bekerja.

Katanya, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menjalani pembedahan, namun sehingga kini dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

"Soal siasat yang dijalankan ke atas lelaki yang membantu meleraikan pergaduhan terbabit memaklumkan dia dengan suspek sebelum itu meminum arak di tingkat bawah, namun suspek tiba-tiba bangun dan ke tingkat atas rumah itu berjumpa mangsa.

"Dia tidak tahu punca pergaduhan berkenaan kerana pada ketika itu sudah nampak suspek menikam lengan mangsa lalu bertindak meleraikan pergaduhan mereka," katanya.

Katanya, polis kini memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 8:41 PM