Oleh Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Seorang wanita cedera di kepala dan tangan selepas ditikam dengan pisau pemotong sayur oleh bekas suaminya dipercayai bermotifkan cemburu dalam kejadian di sebuah panggung wayang di Jalan Ramai-Ramai, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa berusia 26 tahun beratur membeli tiket wayang di panggung terbabit sebelum didatangi suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek bekas pasangan suami isteri.

“Dalam kejadian itu, suspek dikatakan pergi ke panggung wayang untuk mencari bekas isterinya dan sebaik suspek melihat mangsa sedang beratur membeli tiket, lelaki itu meluru menikamnya menggunakan sebilah senjata tajam dipercayai pisau pemotong sayur.

“Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala dan tangan sebelum dihantar ke Hospital Sandakan Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:12 AM