NAZEERA ambil masa dua hari habiskan babak aksi untuk filem Pagari Bulan.
NAZEERA ambil masa dua hari habiskan babak aksi untuk filem Pagari Bulan.
Syafil Syazwan Jefri


Nama Nazeera Sardi bukan asing dalam industri seni tanah air.

Namun, ada ketikanya namanya disebut-sebut dan ada pula masa namanya menyepi.

Siapa sangka, dalam pada dianggap sepi, namanya kini kembali menjadi bualan menerusi watak Bulan dalam filem terbaharu lakonannya, Pagari Bulan yang ditayangkan sejak 5 Oktober lalu di pawagam seluruh negara.

"Setiap orang ada cara tersendiri. Saya melalui proses itu secara normal. Saya banyak menyepi sebab saya sambung belajar dan sebagainya.

"Saya berada dalam industri ini, tidak saya fikirkan untuk dikenali. Pada saya ini adalah kerjaya saya. Kalau orang kenal dan sedar kewujudan kerja saya, saya bersyukur. Kalau yang belum kenal, Insya-Allah orang kenal kalau kita berikan hasil terbaik.

"Alhamdulillah sejak awal pembabitan saya, rezeki itu berjalan lancar. Cuma kadang-kadang saya sambil belajar dan berniaga, jadi agak sibuk. Sekarang, saya aktif juga menyertai festival makanan dan sebagainya," katanya yang kini mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Nazeera berkata, menyambung pengajian memang mencabar, tapi ia membawa kepuasan berbeza buatnya.

"Saya menghargai ilmu. Mana tahu kalau di masa depan saya dapat gunakan ilmu itu.

"Walaupun satu perjuangan mencabar dari sudut masa dan tenaga, tapi saya cuba. Masa sentiasa menjadi cabaran terbesar sebab bila dah habis penggambaran, memang dah penat. Jadi, kena betul-betul 'berlawan' dengan masa. Setakat ini, masih okay.

"Sekarang saya dah masuk semester ketiga. Kalau ada rezeki mengajar, okay juga sebab saya nak kembangkan ilmu yang saya belajar," katanya.

Berkongsi mengenai filem Pagari Bulan yang dilakonkannya dan diarahkan Raja Mukhriz, Nazeera menggambarkan karya itu sebagai satu cabaran besar buatnya.

"Ketika pertama kali ditawarkan watak Bulan ini, saya membaca jalan cerita watak ini. Ia adalah watak berat kerana sebagai teraju utama. Jadi, tentunya ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

"Pada saya, Bulan adalah watak yang kuat dan dia ada semangat kepimpinan, berani dan sentiasa mahu menjaga apa yang ada di sekelilingnya. Dia mengangkat kuasa wanita dan ingin membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukannya.

"Filem ini istimewa buat saya kerana memberi saya peluang belajar perkara baharu yang mencabar diri saya sebagai pelakon.

"Bahkan, setiap babak dalam filem ini adalah cabaran buat saya dan banyak juga perkara yang belum pernah saya teroka sebagai pelakon, dapat saya cuba dalam filem Pagari Bulan ini," katanya.

NAZEERA kini membintangi filem Pagari Bulan.
NAZEERA kini membintangi filem Pagari Bulan.

WATAK Bulan amat mencabar bagi Nazeera.
WATAK Bulan amat mencabar bagi Nazeera.

Berkongsi mengenai cabaran besar buatnya, Nazeera berkata, dialog yang memerlukannya bertutur dalam dialek Kelantan benar-benar mencabar.

"Apabila diberitahu saya perlu bertutur dalam dialek Kelantan, saya rasa satu perkara yang sukar. Mungkin pada orang lain, ia tak terlalu sukar, tetapi pada saya ia satu perkara yang susah sebab saya tak tahu nak cakap dialek Kelantan.

"Tambahan pula, dialog yang dilontarkan bukan dalam dialek Kelantan moden seperti kita dengar hari ini. Ia satu dialek ketika zaman itu. Jadi, saya banyak belajar daripada beberapa rakan-rakan yang berasal dari Kelantan di samping rakan terdekat dan kelas dialek Kelantan.

"Dalam fikiran saya, saya perlu bawakan watak Bulan ini dan situasi yang diceritakan berlaku di Kota Bharu. Apa yang fikir, saya cuba yang terbaik untuk bercakap. Keutamaan saya adalah mesej yang ingin disampaikan dalam Pagari Bulan.

"Saya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu untuk belajar. Walaupun susah, tapi perkara yang kita biasa dengar di Malaysia, jadi boleh saya dapat belajar," katanya.

Satu lagi cabaran besar buatnya adalah babak aksi kerana dia bukan pelakon yang memiliki asas dalam seni bela diri.

"Saya bukan pelakon aksi. Jadi, saya tak ada asas aksi langsung. Jadi, pada awalnya saya tak bayangkan babak aksi sebanyak ini. Jadi, saya ambil masa dua hari habiskan babak aksi. Memang ada kecederaan kecil seperti lebam, tapi menyeronokkan.

"Memang tak tidur malam juga memikirkan untuk babak ini. Mujur saya turut dibantu dan dilatih Andy dan Trisha. Memandangkan saya bukan pelakon aksi, jadi saya kena berikan usaha yang lebih supaya dapat berikan hasil terbaik," katanya.

Ditanya sama ada dia bersedia berdepan kritikan netizen, Nazeera menerima setiap pandangan secara terbuka.

"Bersedia itu, saya kena sentiasa bersedia. Kritikan atau pujian, setiap orang ada pandangan masing-masing. Bila ada orang yang suka, mesti akan ada yang tak suka. Jadi, saya menerima setiap pandangan secara terbuka. Saya hormat pendapat mereka mengenai lakonan saya dalam filem ini.

"Sebagai pelakon, sentiasa akan ada perasaan bahawa kita boleh melakukan lebih baik. Namun, apabila mengenangkan semula penat lelah ketika menjayakan sesuatu watak, saya rasa, saya sudah berikan yang terbaik dalam filem Pagari Bulan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 6:00 AM