PELE mendapat pengiktirafan dari negaranya. FOTO AFP
PELE mendapat pengiktirafan dari negaranya. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Legenda bola sepak Brazil, Pele, akan dihormati di negara asalnya dengan satu hari peringatan yang dinamakan 'Hari Raja Pele'.

Dianggap oleh ramai pihak selaku pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, Edson Arantes do Nascimento atau lebih dikenali sebagai Pele memenangi tiga Piala Dunia bersama Brazil dan menjaringkan lebih daripada 1,000 gol sepanjang kariernya.

"Hari Raja Pele' akan diadakan pada 19 November depan, tarikh di mana penyerang itu menjaringkan gol ke-1,000 dalam perlawanan untuk kelabnya semasa zaman remaja, Santos, di Stadium Maracana yang ikonik di Rio de Janeiro pada tahun 1969.

Gol Pele itu dijaringkan menerusi sepakan penalti ketika meraih kemenangan 2-1 menentang Vasco da Gama, dan perlawanan itu dihentikan seketika selepas penyokong menceroboh masuk ke padang untuk meraikan pencapaian O Rei (Sang Raja).

Anak jati Tres Coracoes itu mendedikasikan gol bersejarahnya kepada 'anak-anak miskin Brazil'.

Pada tahun berikutnya, dia memenangi Piala Dunia ketiga yang juga terakhir sebagai sebahagian skuad legenda Brazil 1970.

Pele meninggal dunia pada 29 Disember 2022 di usia 82 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 2:00 AM