GRIEZMANN masih belum pamer prestasi meyakinkan. FOTO AFP
GRIEZMANN masih belum pamer prestasi meyakinkan. FOTO AFP
Reuters

Duesseldorf: Kepulangan Antoine Griezmann ke pasukan Perancis terbukti tidak meyakinkan apabila mereka bergelut untuk menewaskan Belgium pada pusingan 16 terakhir Euro 2024 tetapi dia masih gembira dengan kemaraan mereka ke suku akhir.

Sering menjadi tonggak utama Les Bleus, Griezmann digugurkan untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Poland selepas prestasi kurang meyakinkan.

Namun dia diberi peluang beraksi semula ketika mereka melakar kemenangan 1-0 ke atas Belgium di Duesseldorf.

Dia adalah salah seorang daripada tiga penyerang untuk Perancis, dalam pertukaran formasi daripada jurulatih, Didier Deschamps, tetapi gagal untuk membentuk persefahaman bersama Kylian Mbappe atau Marcus Thuram.

"Ia masih sistem baharu untuk kami, anda perlu membiasakannya. Jurulatih datang ke bilik saya. Dia memberitahu saya di mana dia mahu saya bermain. Saya menjawab saya bersedia sepenuhnya.

"Dia tahu di posisi mana saya suka bermain, tetapi saya akan sentiasa memberikan segala-galanya untuk pasukan, untuk jurulatih. Dia meletakkan keyakinan terhadap saya dan saya cuba membalasnya.

"Saya bukan pemain sayap yang akan mengatasi pertahanan lawan satu lawan satu. Saya lebih berminat untuk bermain satu dua.

"Saya boleh bermain di mana-mana posisi. Tidak kira di mana saya berada, saya akan memberikan 100 peratus sepanjang masa," katanya.

Griezmann berkata asas kepada kemenangan pasukannya bermula daripada prestasi mantap di benteng pertahanan.

"Ia adalah perlawanan yang hebat secara pertahanan untuk pasukan. Tanpa pertahanan yang hebat, anda tidak boleh pergi jauh. Kami sangat gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:15 AM