TRISHA akui selesa bergerak sendiri menguruskan karier seninya. - FOTO Aizuddin Saad
TRISHA akui selesa bergerak sendiri menguruskan karier seninya. - FOTO Aizuddin Saad
Norhayati Nordin


Baru dua tahun aktif sebagai pelakon, Trisha Ooi, 23, kini nekad memilih bergerak sendiri dan tidak menyambung kontrak baharu dengan pihak pengurusan bakat, Dino May Entertainment (DME) yang dinaunginya sebelum ini.

Trisha ketika ditemui berkata, dia berterima kasih dengan pihak pengurusan bakat terbabit yang banyak membantu permulaan karier lakonannya, namun sekarang lebih yakin untuk mengurus sendiri kerjaya seni.

"Kontrak saya tamat secara baik dan tiada sebarang perselisihan faham berlaku Malah, saya yang tidak mahu sambung kontrak baharu dengan mereka kerana yakin sudah mampu mengurus karier sendiri.

"Alhamdulillah, dalam tempoh sekarang saya sudah selesa bergerak sendiri dan syukur dipermudahkan segala urusan. Kalau agak sibuk pun, ada rakan saya yang boleh membantu dan buat masa ini semua terkawal," katanya.

Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi berkata, dia juga amat menghormati pihak lain dan enggan terkait dengan sebarang kontroversi yang boleh mencemarkan imej serta reputasinya.

"Bagi sesiapa yang kenal saya, pasti faham cara saya yang tidak gemar dikaitkan dengan kontroversi kerana amat menjaga nama baik keluarga. Apatah lagi, bermasalah dengan orang.

"Setakat ini, pergaulan saya di set penggambaran bersama pelakon lain sangat dijaga. Terutama apabila digandingkan dengan hero yang sudah berkahwin," katanya.

 TRISHA lakonkan watak Su Li dalam filem Pagari Bulan. - FOTO Aizuddin Saad
TRISHA lakonkan watak Su Li dalam filem Pagari Bulan. - FOTO Aizuddin Saad

Menurut Trisha, dia tidak mahu terpalit langsung dengan kontroversi dan memilih mahu dikenali peminat dengan bakat saja, termasuk tidak mengejar populariti.

Bakal muncul dengan filem bertemakan sejarah iaitu Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad pada 5 Oktober ini di pawagam, Trisha berkata, dia teruja kerana bercakap dialek Kelantan

"Saya lakonkan watak wanita Cina, Su Li yang berkawan baik dengan Bulan. Ketika penjajahan Jepun itu, kami berhadapan kekejaman tentera apabila dijadikan 'wanita penghibur'.

"Menariknya, Su Li dan Bulan wanita berjiwa kental yang tidak mudah mengalah apabila masing-masing ada kemahiran mempertahankan diri.

"Saya terbabit selama enam tahun sebagai pelakon lagak ngeri sejak masih bersekolah menengah. Jadi, saya tiada masalah melakonkan babak aksi seperti pergaduhan. Apapun, saya harap filem Pagari Bulan diterima baik penonton," katanya.

Selain Trisha, filem Pagari Bulan turut dibintangi Nazeera Sardi, Aniq Durar, AndyTeh, Alvin Wong, Michael Ang, Azlan Komeng,Laila Nasir dan ramai lagi.

Filem sulung terbitan produksi Eleven Field Creative milik pelakon Sharifah Shahora ini difahamkan mendapat Dana Kenegaraan RM2.5 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:43 AM