TRISHA Ooi.
TRISHA Ooi.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon, Trisha Ooi, 23, sanggup berkemban untuk watak dilakonkan walaupun realitinya dia seorang yang tidak berpakaian seksi dan amat menjaga batas pergaulan dengan orang sekeliling.

Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi ketika ditemui berkata, dia nekad tampil berani untuk berkemban bagi watak gadis Cina bernama Sui Li dalam filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad.

"Saya bulatkan hati untuk tampil berkemban kerana tuntutan watak Sui Li saja. Tapi, kalau berkemban suka-suka dan mencipta kontroversi, memang tak akan saya lakukan kerana menjaga maruah diri dan nama baik keluarga.

"Saya pun baru dua tahun betul-betul aktif sebagai pelakon kerana sebelum ini menjadi pelakon lagak ngeri di belakang tabir selama enam tahun. Jadi, saya masih lagi harus berani mencuba pelbagai watak," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai kecaman netizen yang mungkin akan diterimanya, Trisha berkata, dia okay saja kerana sedar kecaman dan kritikan negatif itu lumrah sebagai penggiat seni.

"Kalau netizen nak kecam bukan setakat berkemban. Apa saja watak dilakonkan dan tidak senang di mata mereka pasti bakal dikecam juga. Bagi saya, kecaman itu (netizen) perkara biasa.

"Saya pun hanya berkemban dalam lakonan dan setakat ini, tidak pernah lagi tampil seksi dengan pakaian yang mendedahkan bahagian tubuh keterlaluan. Selain itu, saya juga menjaga batas pergaulan.

"Kalau kena berlakon dengan pelakon lelaki yang sudah berkahwin, saya memanfg letakkan had tertentu. Saya tidak mahu guriskan hati sesiapa dan paling penting tidak terpalit kontroversi," katanya.

Filem Pagari Bulan yang mengangkat kisah kehidupan wanita pada era penjajahan Jepun di Tanah Melayu itu akan menemui penonton di 60 pawagam tanah air mulai 5 Oktober ini.

Selain Trisha, filem Pagari Bulan dibintangi Nazeera Sardi, Aniq Durar, AndyTeh, Alvin Wong, Michael Ang, Azlan Komeng,Laila Nasir dan ramai lagi.

Filem terbitan produksi Eleven Field Creative milik pelakon Sharifah Shahora ini mendapat Dana Kenegaraan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak RM2.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 12:31 PM