MENAMPILKAN era zaman pendudukan Jepun.
MENAMPILKAN era zaman pendudukan Jepun.
Syafil Syazwan Jefri

Luar biasa! Itu kata-kata yang terbit dalam fikiran saya saat menonton filem berjudul Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz.

Menariknya, filem ini mengangkat kisah wanita sebagai tunjang utama jalan cerita. Lebih menarik, kisahnya adalah mengenai 'comfort women' yang terpaksa menjadi 'penyedap' untuk tentera Jepun.

Berlatarbelakangkan zaman kedatangan dan penjajahan Jepun ke Tanah Melayu melalui Kelantan, Pagari Bulan mengisahkan mengenai wanita bernama Bulan lakonan Nazeera Sardi yang membesar menjadi wanita kuat.

NAZEERA Saidi bawa watak utama.
NAZEERA Saidi bawa watak utama.

Sebagai anak sulung daripada dua adik-beradik perempuan dalam keluarga, Bulan diasuh oleh bapanya untuk menjadi pelindung kepada ibu dan adiknya.

Oleh itu, Bulan memiliki kemampuan untuk memburu binatang, bersilat dan menggunakan senjata termasuklah senjata api.

Selepas kehadiran Jepun, Bulan bersama adiknya dan sahabat baiknya, Sui Li diculik tentera Jepun dan dijadikan pemuas nafsu mereka.

Jepun kemudiannya menghantar Leftenan Miura, pegawai baharu yang akan membantu penjajahan di Tanah Melayu. Hendak dijadikan cerita, Bulan kemudiannya mula menyimpan perasaan terhadap Miura.

Siapa sangka, Miura adalah tentera Jepun yang berperibadi mulia dan banyak membantu penduduk tempatan termasuklah bapa Bulan, Pak Mail yang turut ditawan tentera Jepun.

Bahkan, demi Bulan dan penduduk tempatan, Miura turut dijatuhi hukuman potong tangan dan dipenjara di sungai.

Sedikit sebanyak, filem Pagari Bulan ini mengingatkan saya kepada filem Embun arahan Erma Fatima yang pernah ditayangkan pada 2002.

Namun, mungkin persamaannya lebih kepada latar zaman dan kewujudan dua watak utama iaitu wanita tempatan dan heronya adalah tentera Jepun yang baik.

Namun, kelainan masih lagi ditampilkan dalam filem ini. Banyak aspek yang membuatkan mata saya terpana antaranya sinematografi yang memang tidak kurang hebat jika kita bandingkan dengan filem-filem berkualiti dari luar negara.

KAGUM dengan kemampuan pelakon bertutur dalam bahasa Jepun.
KAGUM dengan kemampuan pelakon bertutur dalam bahasa Jepun.

Jalan ceritanya bergerak lancar dan tidak meleret-leret. Penonton tak perlukan masa yang lama untuk menunggu sesuatu babak berkembang.

Paling penting, setiap babak dihasilkan dengan cangkuk kuat untuk memastikan penonton tidak berganjak dari kerusi pawagam saat menonton.

Babak aksinya juga tidak kurang hebat terutamanya dengan beberapa sudut kamera yang nampaknya sangat memukau, serasa menonton filem Hollywood.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya menjerit 'Wow!' adalah, kesungguhan setiap pelakon yang perlu bertutur bahasa Jepun, mendalami bahasa asing itu. Mereka nampak meyakinkan dan kedengaran fasih sekali.

Bukan saja bahasa Jepun, malah dialek Kelantan yang digunakan sebagai bahasa utama dalam filem ini juga mengejutkan terutamanya apabila dialog dilontarkan oleh pelakon-pelakon yang bukan berasal dari Kelantan.

Memang benar-benar komited dan bersungguh-sungguh setiap daripada mereka yang berada di belakang tabir dan di hadapan kamera dalam menjayakan filem ini.

Terakhir, filem ini juga menampilkan lagu OST yang sangat enak didengari berjudul Bulan, nyanyian penyanyi baharu, Namira.

• FILEM: Pagari Bulan

• PENGARAH: Raja Mukhriz

• PENULIS SKRIP: Siti Jasmina Ibrahim

• PELAKON: Nazeera Sardi, Aniq Durar, Trisha Ooi, Alvin Wong, Andy Teh, Michael Ang, Wan Azli Wan Jusoh, Chelsia Ng, Laila Nasir, Hazi Juzaili, Irin Puteri, Azlan Komeng, Helmy Hakim, Wanji Aswandi, Nik Mazli, Tengku Afzan

• TERBITAN: Eleven Field Creative Sdn Bhd

• ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 6:20 AM