PEKIN akui cabaran bermain dengan masalah sosial dalam filem lakonan terbaharunya, Janna Endoro. - FOTO Hazreen Mohamad
PEKIN akui cabaran bermain dengan masalah sosial dalam filem lakonan terbaharunya, Janna Endoro. - FOTO Hazreen Mohamad
Ridzuan Abdul Rahman


Luar jangkaan! Ini kata-kata yang terpacul keluar dari mulut pelakon, Pekin Ibrahim apabila menonton filem lakonan terbaharunya, Janna Endoro yang menampilkan Trisha Ooi sebagai pasangannya.

Pekin, 43, yang membawakan watak Mat Dat berkata, agak mengejutkan apabila dia melihat filem ini sangat menarik apabila siap berbanding skrip yang awalnya serba kekurangan.

"Masa baca skrip agak goyang, berlubang-lubang, tapi bila dah siap sangat cantik ceritanya dan sangat padu. Penggambaran masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh kekangan.

"Saya sangat kagum dengan semua pelakon, kru terbabit dan orang kampung yang punyai bakat semula jadi berlakon. Mereka turut menghidupkan cerita ini.

"Trisha yang bawa watak utama sebagai Janna sangat bagus. Kalau ikutkan ini filem pertama dia waktu itu. Nampak dia 'all out' dan buat kerja rumah. Dia ada pesona dan karisma tersendiri. Boleh jadi pelapis pelakon wanita berkarakter untuk filem," katanya.

Filem terbitan pelakon, Syed Aiman menerusi syarikatnya Double Channel arahan Sham JR ini turut menampilkan Mohd Asrulfaizal, Wan Hanafi Su, Josiah Hogan, Zoee Tan dan ramai lagi.

Penggambaran dibuat sepenuhnya di Kelantan dan menggunakan hampir keseluruhan pelakon Kelantan dan menggunakan dialek Kelantan.

Mat Dat adalah suami Janna dan digambarkan sebagai suami yang bermasalah.

"Ini adalah filem Kelantan saya yang kedua selepas Bunohan. Kalau ikutkan watak ini susah sebab saya tak pernah lagi bawa watak begini. Selalunya saya bawa watak hero dan kalau jahat yang betul-betul jahat.

PEKIN harap masyarakat memahami dia hanya melakonkan watak diberikan.  - FOTO Hazreen Mohamad
PEKIN harap masyarakat memahami dia hanya melakonkan watak diberikan. - FOTO Hazreen Mohamad

"Ini, nak kata jahat tak juga. Wataknya agak mencabar juga sebab ada masalah sosial. Bila watak yang bermain dengan masalah sosial memang susah. Jadi, pembawakan watak kena kemas.

"Bila baca skrip, saya tahu watak ini 'best' dan saya boleh bawakan. Kami pelakon memang bedah skrip dekat set kerana penggambaran yang padat. Setiap kali malam habis penggambaran kami akan bedah skrip, cari mana 'benda' yang kita boleh tutup lubang," katanya.

Janna Endoro mengisahkan Janna, isteri yang patuh dan taat pada suami, Mat Dat. Mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun, Dhia.

Mat Dat seorang yang kaki baran, kerja tidak menentu, kaki lalok, berjudi dan berhutang sehinggakan menjadi buruan along.

Pekin berkata, dia tidak risau dengan kritikan pelbagai pihak yang melabelkan lelaki Kelantan sebegitu rupa.

"Sebabnya benda ini mewakili adanya orang golongan begitu. Kalau tiada, cerita ini mungkin kita takkan nampak. Saya tak risau kena kecam atau apa sebab ia hanya berlakon. Mereka faham itu lakonan.

"Janna Endoro bukan meletakkan nama saya semata-mata sebagai tarikan. Kadangkala pemasaran pun mainkan peranan. Saya harap filem yang ditayangkan sejak 22 Februari lalu dapat sambutan peminat.

"Saya faham bajet promosinya agak ketat sikit kerana ini 'first baby' Syed Aiman. Jadi, sama-sama bantu mulut ke mulut supaya dapat menarik penonton ke pawagam," katanya.

Dalam masa sama, Pekin masih aktif berlakon dan tidak menolak mana-mana tawaran berlakon filem atau drama kecuali drama bersiri kerana dia sukar memberikan komitmen sepenuhnya.

PEKIN tampil lakonan cemerlang sebagai Mat Dat dalam filem Janna Endoro.
PEKIN tampil lakonan cemerlang sebagai Mat Dat dalam filem Janna Endoro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:00 AM