SANGEETA pegang watak sebagai Salmi dalam filem Duan Nago Bogho.
SANGEETA pegang watak sebagai Salmi dalam filem Duan Nago Bogho.
Najiy Jefri


PELAKON, Sangeeta Krishnasamy mendedahkan dia hanya diberi tempoh dua hari untuk membuat persediaan membintangi filem yang mengangkat seni budaya Malaysia Makyung berjudul Duan Nago Bogho.

Sangeeta berkata, ketika dilamar pengarah berkaliber, Sabri Yunus untuk memegang watak Salmi, dia sukar menolaknya.

"Ketika tawaran ini diberikan, saya dapat tahu ia sepatutnya dijayakan seorang pelakon, tetapi dia menarik diri. Disebabkan saya dan Sabri pernah bekerjasama sebelum ini dan dia tahu cara saya bekerja, jadi dia beri sepenuh keyakinan walaupun tawaran ini diberikan dua hari sebelum penggambaran.

"Dari dulu saya sukakan seni makyung serta dialek Kelantan. Jadi, dapat saya pelajari walaupun sikit.

"Saya tertekan ketika proses penggambaran kerana perlu bertutur dalam dialek Kelantan serta belajar tarian makyung yang bukan mudah. Orang lain menimba ilmu bertahun-tahun, tapi saya beberapa hari saja," katanya.

Menurut Sangeeta, dia bagaimanapun bersyukur apabila Sabri sentiasa memberikan tunjuk ajar dan sokongan padu terhadapnya.

"Setiap kali masuk set penggambaran saya sudah mula rasai suasana Kelantan kerana rata-rata kru juga berasal dari negeri itu.

"Saya sudah lakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya. Saya percaya dengan sentuhan Sabri dan dia juga mahir dalam mencipta watak setiap pelakon," katanya.

Selain Sangeeta, filem yang menggunakan menggunakan dialek bahasa Kelantan sebanyak 80 peratus itu dijayakan oleh Asrul Faizal, Datuk Rosyam Nor, Jojo Goh, Husairi Husain, Angeline Tan, Issey Fadzlisham dan Jason Chong.

AKUI sukar untuk mempelajari seni persembahan makyung yang menjadi tema utama filem ini.
AKUI sukar untuk mempelajari seni persembahan makyung yang menjadi tema utama filem ini.

Karya terbitan Kalamarif Holdings Sdn Bhd itu bakal menemui penonton di pawagam pada 19 Januari tahun depan.

Duan Nago Bogho mengangkat kisah anak seni tradisional makyung Kelantan iaitu Duan yang juga pemain watak makyung yang mempunyai dua personaliti. Dia yang mencintai seni tradisional, pada masa sama suka bergaduh.

Untuk cerita ini, kisahnya bermula selepas Duan bergaduh dengan penonton makyung yang mengganggunya ketika dia membuat persembahan sehingga ayahnya meminta dia meninggalkan kampung dan berhijrah mencari kerja lain.

Rakannya iaitu Awi yang tinggal di Kuala Lumpur mengajak Duan ke ibu kota. Awi memberitahu, Kuala Lumpur memberikan peluang kerja lebih luas dalam bidang seni, termasuk makyung.

Awi adalah pekerja seni yang cuba membawa seni Kelantan ke arah yang lebih luas dan maju. Selain itu, tugas Duan juga adalah membantu Nancy, anak kepada Jimmy Ang iaitu seorang lelaki cina keturunan Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 6:30 AM