KEADAAN masjid dan lokasi sekitarnya yang dibom tentera Israel. FOTO Telegram Nadir Al-Nuri
KEADAAN masjid dan lokasi sekitarnya yang dibom tentera Israel. FOTO Telegram Nadir Al-Nuri
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Cebisan daging manusia bertaburan di jalanan berhampiran sebuah masjid yang dihujani serangan peluru berpandu dari rejim Zionis hari ini.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya rumah ibadat itu antara lima buah masjid yang dilaporkan musnah akibat serangan bom rejim Zionis sejak hari pertama serangan ke arah penduduk Gaza, Palestin.

"Gambar masjid yang dibom petang tadi yang saya kongsikan ini ada kisah tersendiri kerana ia terletak berdepan rumah adik ipar tempat isteri saya dan anak-anak berteduh.

"Masjid dibom tanpa amaran tetapi takdir Allah SWT mereka sempat lari. Macam mimpi semuanya boleh selamat.

"Pemuda mengusung mereka keluar dari robohan rumah, di jalanan mereka nampak ketulan daging manusia bertaburan," katanya dalam hantaran itu hari ini.

Katanya, 11 individu yang berada berhampiran masjit berkenaan dipercayai maut akibat serangan itu.

"Sebelas orang syuhada' syahid di situ, puluhan (lagi) cedera.

"Nyawa kita di tangan Allah SWT kan, selagi masih bernyawa, teruskan bekerja dan jangan berhenti," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Lebih 5,000 roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke Israel menandakan bermulanya 'Operasi Banjir Al-Aqsa' oleh pejuang Hamas.

Kumpulan itu berkata, pihaknya mengisytiharkan operasi terbabit bagi menamatkan jenayah dilakukan Israel.

Susulan itu, pesawat tempur Israel melancarkan serangan udara baharu di Semenanjung Gaza tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat berikutan, serangan mengejut Hamas ke bandar-bandar Israel.

Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, kabinet keselamatan melaksanakan "siri keputusan operasi" untuk memusnahkan keupayaan tentera dan kerajaan Hamas serta kumpulan Jihad Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 12:19 AM